Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU14: DAP kembali ke Sungai Siput?
Diterbitkan:  May 18, 2017 5:45 PM
Dikemaskini: 1:17 PM

Dahulunya pernah menjadi kubu kuat bekas presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu sebelum tsunami politik 2008, kerusi Parlimen Sungai Siput kembali menjadi tumpuan pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana khabar angin bertiup kencang mengenai ura-ura DAP yang menyerahkan kerusi tersebut kepada PKR sebelum ini akan kembali meletakkan calonnya, A Sivanesan bagi bertanding di kawasan P62 itu pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas mengenai perkara itu, Sivanesan menyerahkan kepada pucuk pimpinan partinya untuk memutuskan perkara tersebut sambil menyatakan kesediaan beliau yang kini ADUN Sungkai untuk bertanding di kerusi itu.

"Saya lihat banyak isu yang boleh saya perjuangkan di Sungai Siput kerana MIC ternyata telah terlalu lama mengabaikan penduduk di kawasan tersebut walaupun memegang jawatan menteri di peringkat Persekutuan.

"Antara yang utama ialah tiada lebuhraya terus daripada lebuhraya utama ke Kampar yang menyebabkan kurangnya pelaburan sehingga membataskan peluang pekerjaan penduduk setempat," katanya kepada Malaysiakini.

Pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang bertanding atas tiket PKR berjaya mendapat 21,593 undi bagi menewaskan calon BN, Datuk S.K Devamany yang mendapat 18,800 undi dan calon Bebas, S Nagalingam.

Jeyakumar yang menganggotai Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertanding atas tiket PKR pada PRU yang lalu setelah wujudnya persefahaman antara partinya dengan Pakatan Rakyat.

Namun kini, setelah PSM bukan sebahagian daripada komponen dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dianggotai oleh DAP bersama-sama PKR, AMANAH dan BERSATU, kerusi Sungai Siput dijangka menyaksikan pentandingan lebih daripada dua penjuru.

Mengulas lanjut, Sivanesan yang juga naib presiden DAP Perak berkata, pihaknya merasakan peluang yang lebih tinggi buat parti itu untuk menang kerana kelebihan sokongan penduduk kawasan itu.

“Saya ingin memberikan contoh bahawa DAP menang di kerusi DUN Jalong dengan majoriti 6,800 undi pada pilihan raya umum yang lalu.

"Calon PKR pula mengalami kekalahan di DUN Lintang dengan majoriti 3,800 undi. Ini menunjukkan DAP mendapat lebih 1,000 undi di Jalong berbanding Jeyakumar,” jelas Sivanesan.

Jalong dan Lintang adalah dua kerusi DUN di Parlimen Sungai Siput yang memiliki sekitar 53 ribu pengundi buat masa ini.

Lihat Komen
ADS