Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat S'gor harus 'buka mata', kata Noh Omar
Diterbitkan:  May 19, 2017 5:46 AM
Dikemaskini: 9:50 PM

Krisis politik dalam pentadbiran kerajaan negeri ketika ini dilihat hanya merugikan masa depan rakyat Selangor, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Beliau yang juga menteri perumahan, kerajaan tempatan dan kesejahteraan bandar berkata sudah tiba masanya kerajaan yang didokong PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH dan PAS itu ditolak rakyat Selangor.

"Rakyat harus bangkit kerana negeri maju ini sering dilanda pelbagai isu. Jika pentadbiran asyik bermain politik, bagaimana rakyat hendak dijaga?" dakwanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Petugas Banjir Sabak Bernam, dekat Sungai Besar semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai parti PAS yang masih mengekalkan tiga Anggota Dewan Undangan Negerinya sebagai exco kerajaan Selangor walaupun hubungan tahaluf siyasi dengan PKR telah ditamatkan serta-merta pada 11 Mei lepas.

PAS pusat semalam memutuskan bahawa tiga exconya dalam kerajaan Selangor kekal mentadbir dan ia adalah berdasarkan kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Perkara tersebut diumumkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan seorang exco selain menteri besar hendaklah memegang jawatan selama yang diperkenan Sultan Selangor mengikut Perkara 53 Fasal 7 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Tiga exco PAS itu adalah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi) serta Zaidy Abdul Talib (pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Kedudukan Exco PAS dalam kerajaan Selangor menjadi topik hangat apabila hubungan tahaluf siyasi antara parti itu dan PKR ditamatkan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS dengan mengatakan PKR telah melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sejak sekian lama.

- Bernama

Lihat Komen
ADS