Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Insiden tampar: PTVM mohon maaf bagi pihak MIG, David Teo
Diterbitkan:  May 19, 2017 5:51 AM
Dikemaskini: 10:08 PM

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) memohon maaf bagi pihak anggotanya, Metroweatlh (MIG) Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutifnya David Teo yang didakwa bersikap biadap semasa sesi dialog program Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dihadiri Perdana Menteri kelmarin.

Presiden PTVM Datuk Jurey Latiff Rosli berkata pihaknya yakin tindakan Teo, sehingga ditampar seorang pelakon, tidak berniat untuk berlaku biadap atau merosakkan majlis dan kejadian berlaku tanpa dirancang.

"Ini satu kerugian besar yang mana peluang baik disia-siakan dengan insiden buruk tersebut. Harapan saya sebagai presiden PTVM, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat memaafkan David dan Mat Over serta tidak serik untuk terus membantu industri kreatif negara," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam kejadian itu, pelakon Mat Over atau nama sebenarnya Sulaiman Yasin menampar David sehingga sesi Dialog TN50 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama Penggiat Seni yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya dihentikan seketika.

Kekecohan bermula apabila David menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor, yang berperanan sebagai moderator didakwa hanya memberi fokus kepada penonton di barisan hadapan sebelum tiba-tiba ditampar oleh Mat Over.

Jurey turut menyuarakan kekesalannya kerana pengisian program dan perancangan untuk kemajuan industri kreatif serta masa depan penggiat seni seperti yang dirancang tidak diperkatakan apabila ia ditenggelami oleh insiden berkenaan.

Katanya lagi kejadian tersebut amat memalukan dan mencalar imej penggiat seni apabila ia berlaku di hadapan pemimpin sehingga tular dan ditafsirkan dengan pelbagai komen.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS