Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Teknik urutan M'sia jadi modul wajib latihan spa
Diterbitkan:  May 19, 2017 6:28 AM
Dikemaskini: 10:32 PM

Berkuat kuasa 15 Julai, Teknik Urutan Malaysia akan dijadikan sebagai antara satu syarat wajib dalam penarafan bintang perusahaan spa serta menjadi modul wajib latihan anggota terapi spa di negara ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ia selaras dengan hasrat kementerian menjenamakan urutan Malaysia sebagai produk pelancongan baharu negara yang menggabungkan teknik urutan tradisional semua kaum di Malaysia.

Beliau berkata urutan Malaysia adalah satu produk penjagaan diri jenama Malaysia yang diilhamkan oleh pakar dan penggiat industri spa negara, dibangun dan diolah mengikut acuan Malaysia bermula 2012.

"Kementerian melalui Jawatankuasa Kerja Kajian dan Penyelidikan di bawah Majlis Spa Nasional memberi mandat kepada pakar dan penggiat spa kita untuk membuat kajian serta membangunkan Urutan Malaysia sebagai satu produk spa yang unik, diinspirasikan oleh kepelbagaian warisan dan budaya Malaysia.

"Saya menggesa penggiat industri spa dan semua institut latihan berkaitan mengambil inisiatif untuk mengambil pakar-pakar terlatih dalam urutan Malaysia bagi melatih anggota terapi urutan di spa masing-masing serta menawarkan khidmat Urutan Malaysia," katanya semasa merasmikan majlis pentauliahan Program Latihan Tenaga Pengajar Urutan Malaysia 2017, di ibunegara semalam.

Mas Ermieyati berkata sudah tiba masanya Malaysia menjenamakan teknik urutan yang tersendiri setanding teknik urutan lain seperti urutan Thai dan Bali serta menjadi eksport pelancongan ke luar negara.

Katanya industri spa dijangka dapat menyumbang sebanyak RM4 bilion kepada pendapatan negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada 3.5 juta rakyat menjelang 2020.

Sebanyak 243 pusat spa diberi penarafan bintang oleh kementerian itu setakat Mac tahun ini. Bagi tempoh 2012 hingga tahun lepas, seramai 856 pakar terapi dilatih oleh tujuh pusat kecemerlangan di seluruh negara.

Di majlis itu, Mas Ermieyati turut menyampaikan sijil kepada 20 tenaga pengajar spa dari pelbagai pusat latihan spa yang berjaya menamatkan sesi latihan 'Train the Trainer' di Institut Karisma.

Sementara itu, Presiden Malaysian Association of Wellness and Spa (MAWSpa) Dr Baskaran Kosthi berkata Urutan Malaysia yang menggabungkan teknik urutan Melayu, India, China, Peranakan serta Pribumi Sabah dan Sarawak akan membawa revolusi baharu dalam industri kesihatan.

"Kita memperkenalkan produk tempatan seperti minyak urutan yang mengandungi ramuan tradisional dan herba, alunan muzik tradisional dan hiasan bercirikan tradisional," jelasnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS