Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli majlis, ketua kampung dituntut isytihar harta
Diterbitkan:  May 23, 2017 12:02 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

Bukan sahaja wakil rakyat, Parti Amanah Negara (AMANAH) mahukan pengisytiharan harta melibatkan penjawat awam di pelbagai peringkat.

“Maka AMANAH secara serius akan memulakan langkah dengan memastikan semua posisi-posisi penting rakyat seperti wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung dan lain-lain dengan menjalankan pengisytiharan harta melalui akuan berkanun (SD) bawah Akta Akuan Berkanun 1960.

“Budaya baharu ini dicadangkan untuk dilakukan secara berkala, yakni setiap tahun,” kata setiausaha agungnya Mohd Anuar Tahir.

Dalam kenyataan hari ini, Anuar berkata usaha itu tidak memadai jika hanya dilakukan oleh pembangkang, tetapi lebih penting lagi pimpinan BN yang menduduki kedudukan penting bagi rakyat.

Kumpulan ini, katanya, terdedah kepada penyelewengan.

“AMANAH percaya bahawa tindakan ini menjadi sinar harapan baharu buat rakyat dalam pentas demokrasi di Malaysia.

“Semoga tindakan ini menjadi anutan parti-parti politik dan rakyat keseluruhannya dalam mengangkat taraf pentas demokrasi di Malaysia,” katanya.

Cadangan itu diutarakan memandangkan tanggapan berterusan bahawa politik itu kotor dan jijik, yang berpunca daripada ahli-ahlinya yang tidak mengamalkan keketelusan.

Beliau juga memuji tindakan beberapa ahli politik Pakatan Harapan yang telah mengisytiharkan harta masing-masing.

Ini termasuk Setiausaha Agung PKR Datuk Saifudin Nasution, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan pemimpin AMANAH Datuk Mujahid Yusof Rawa.

“Justeru, usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan politik itu perlu dijernihkan dengan pelbagai inisiatif yang membumi dan menggambarkan nilai yang dibawa,” katanya.

Lihat Komen
ADS