Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia tiada masa depan dengan Rafizi, kata Zaid
Diterbitkan:  May 23, 2017 2:44 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Pertelingkahan berterusan dalam pakatan pembangkang apabila bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim mensasarkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Menulis di Twitter, Zaid meluahkan rasa tidak puas hati terhadap respon ahli parlimen Pandan itu berhubung kritikan mengenai calon perdana menteri dari pembangkang.

"Jika Rafizi adalah masa depan Malaysia, maka kita benar-benar tak mempunyai masa depan. Inilah orang yang sinis terhadap sesiapa yang beliau tak setuju dengannya," kata Zaid yang kini merupakan anggota DAP.

Semalam, Rafizi mengkritik Zaid kerana membidas tindakan pemimpin pembangkang yang membawa sepanduk "Anwar PM ke-7" pada Kongres PKR di Shah Alam baru-baru ini.

Menyifatkan perbuatan itu sebagai angkuh, Zaid mendakwa tindakan itu juga tidak menghormati kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada acara itu.

Rafizi bagaimanapun menggesa Zaid menegur PKR secara diplomatik.

Kena masuk penjara dulu?

Rafizi juga menjelaskan sebab-sebab mengapa Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun masih relevan dalam politik Malaysia ketika ini.

Antara lain, Rafizi berkata, tidak ada mana-mana ahli politik lain yang telah diuji seperti Anwar dan menegaskan bahawa bekas ketua pembangkang itu telah dipenjarakan sebanyak dua kali.

Bagaimanapun Zaid mempersoalkan sama ada beliau perlu ke penjara untuk menjadi seorang hero.

"Rafizi kata saya mempunyai kerjaya politik macam papan dam. Macam mana tu? Adakah saya mesti ke penjara untuk jadi seorang hero.

"Hanya kerana saya tak fikir Anwar boleh menangkan pembangkang dalam pilihan raya tidak menjadikan karier saya tak berguna," katanya.

Mahathir, yang kini merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat menjauhkan diri daripada kenyataan Zaid dan kritikan pedasnya terhadap PKR.

"Itu pendapat dia, bukan saya. Saya tak ada apa-apa kaitan dengannya," kata bekas perdana menteri itu kepada pemberita di Selayang malam tadi.

Zaid berulang kali menggesa HARAPAN menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.

Mahathir, 92, menjadi perdana menteri selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.

Lihat Komen
ADS