BERITA Malaysiakini

PAS kata Anwar tak dapat maklumat tepat

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membuat penelitian sebelum memberi kenyataan yang "menyelewengkan fakta" terhadap parti itu.

Ketua penerangannya, Nasrudin Hassan, berkata walaupun bekas timbalan perdana menteri itu menuduh PAS tidak menolak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), gagal menentang kenaikan harga gula serta minyak dan enggan terlibat dalam perhimpunan BERSIH5, keadaan adalah sebaliknya.

Tidak cukup dengan itu, Nasrudin berkata, melalui beberapa laporan akhbar menunjukkan Anwar membuat kenyataan bahawa PAS mempunyai hubungan dengan Umno selepas memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Kata Nasrudin, Anwar perlu membezakan antara persepsi dan realiti.

"Tohmahan tersebut jelas tidak benar dan jauh daripada realiti. Dalam isu GST, PAS adalah parti yang konsisten menolak perlaksanaannya," kata Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota parlimen Temerloh itu berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengeluarkan sebuah artikel menjelaskan ketegasan pendirian PAS terhadap GST lebih tiga tahun lalu.

Katanya tulisan bertajuk "Mengapa PAS menentang GST?" itu diterbitkan pada 9 Januari 2014.

Nasrudin mengulas ucapan ketua umum PKR itu yang dibacakan oleh anaknya, Nurul Izzah Anwar semasa kongres parti berkenaan 21 Mei lalu.

Menurut Nasrudin, soalan yang patut diajukan mengenai GST ialah kepada Anwar dan PKR sendiri.

"Adakah benar mereka menolak secara total pelaksanaan GST? Bagaimana pula dengan kenyataan Anwar sendiri yang jelas menyokong dan menyebelahi GST meskipun meletakkan pelbagai syarat dalam perlaksanaannya.

"Begitu juga kenyataan Nurul Izzah dalam blog beliau pada 29 April 2017 yang menyatakan: Pakatan Harapan kekal konsisten dengan pendapat kami bahawa GST tidak sepatutnya dilaksanakan secara terburu-buru..." katanya.

Ulas dari mulut sendiri

Nasrudin berkata, meletakkan syarat sebelum melaksanakan GST bermakna seseorang itu tidak menolak perkara tersebut. Malah, katanya, pada Oktober 1992 Anwar - semasa membentang belanjawan 1993 - menegaskan GST perlu dilaksanakan dalam kondisi yang telus dan cekap.

"Anwar turut menyatakan bahawa PAS tidak membantah kenaikan harga minyak dan gula.

"Barangkali Anwar tidak pernah didedahkan dengan pelbagai kenyataan pimpinan PAS yang menjelaskan pendirian parti berhubung kedua-dua isu.

"Begitu juga kenyataan pemimpin PAS yang menolak untuk bergabung dengan Umno.

"Malangnya, ramai pemimpin parti politik lain yang mengulas seolah-olah mereka mewakili pendirian PAS dan ramai pula yang lebih mempercayai ucapan-ucapan mereka!" katanya.

Bekas ketua pemuda PAS itu menegaskan, PAS konsisten dalam setiap tindakan politiknya sesuai dengan konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

"Bagaimana Anwar gagal memperoleh maklumat yang tepat mengenai PAS?

"Sama ada bacaan politik beliau terhadap PAS kini tidak menggambarkan realiti yang ada, atau pemimpin PKR gagal menyalurkan maklumat yang tepat kepada beliau dan sekadar menyampaikan persepsi yang diulas dari mulut mereka sendiri," katanya.