Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib ucap takziah pada keluarga mangsa di Manchester

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau terkejut dengan serangan kejam dan pengecut terhadap penonton yang tidak berdosa pada konsert penyanyi terkenal, Ariana Grande, di Manchester Arena, London, semalam,

Dalam kejadian letupan bom yang disyaki sebagai serangan pengganas, polis Britain mengesahkan angka kematian meningkat kepada 22 orang termasuk kanak-kanak dan 59 yang lain dilaporkan cedera.

"Saya mengucapkan takziah yang mendalam serta mengiringi doa kepada keluarga dan rakan-rakan yang terjejas," kata Najib menerusi akaun Twitter dan Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri berkata pada waktu kesedihan ini, Malaysia akan berdiri teguh bersama Britain.

"Kami perlu tegas, berazam dan sedia berdepan dengan keganasan ini secara pantas di mana-mana dan bila-bila masa sahaja. Kita tidak boleh menyerah," kata Najib.

Media melaporkan serangan itu disyaki dilakukan oleh seorang pengebom nekad pada 10:35 malam waktu tempatan di ruang legar stadium ketika penonton, sebahagian besarnya remaja dan kanak-kanak mula meninggalkan konsert penyanyi Amerika Syarikat itu untuk menuju ke stesen kereta api bawah tanah.

-Bernama

Lihat Komen
ADS