Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PSM ancam saman wakil DAP berhubung perisytiharan aset
Diterbitkan:  May 23, 2017 6:41 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj menuntut permohonan maaf daripada ADUN Sungkai A Sivanesan kerana menimbulkan keraguan terhadap dirinya yang membuat perisytiharan aset.

Jeyakumar berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang jika Sivanesan gagal memohon maaf dalam Tamil Malar, harian Tamil yang sama di mana dakwaan itu dibuat.

“Pencapaian Sivanesan yang dapat mengatasi kemiskinan, belajar sehingga menjadi seorang peguam dan bertanding menang kerusi DUN Sungkai memang lebih besar daripada pencapaian seorang individu seperti saya yang dilahirkan dalam sebuah keluarga kelas menengah.

“Tetapi hakikat itu tidak memberi lesen pada YB Sivanesan untuk memburukkan nama saya.

“Kenyataan Sivanesan yang dipamerkan di muka surat pertama berita harian Tamil Malar pada 21 Mei lalu bahawa saya menyembunyikan sebahagian daripada aset saya termasuk aset-aset yang diberi oleh bapa saya, membawa makna bahawa saya seorang pembohong yang berhasrat menipu rakyat Malaysia dengan membuat deklarasi aset yang palsu.

“Dakwaan Sivanesan membawa implikasi bahawa saya tidak boleh dipercayai dan juga bahawa saya telah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Akuan Berkanun 1960,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jeyakumar berkata beliau akan memberi Sivanesan 10 hari untuk menarik balik kenyataannya dan meminta maaf.

“Kenyataan yang penuh emosi Sivanesan juga menunjukkan bahawa beliau tidak faham polisi PSM memohon setiap ADUN dan wakil rakyat mengisytiharkan aset.

“Tujuan utamanya adalah untuk membuktikan pada rakyat bahawa kami tidak mengguna-pakai posisi kami untuk mengaut kekayaan,” katanya.

Jeyakumar juga mengingatkan Sivanesan bahawa beliau perlu mengetahui siapakah musuh politik utamanya.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk minta Sivanesan bertenang dan merenungi - siapakah musuh politik utama Sivanesan dan rakan-rakan seperjuangan dalam DAP pada takat ini?

“Bukankah lebih baik jika kita semua bekerjasama untuk menentang musuh politik utama itu?’ katanya.

Jeyakumar pada Rabu lalu membentangkan pengisytiharan harta tahunannya yang menunjukkan dua pertiga daripada gaji dan elaun RM216,000 yang diperolehinya dibelanjakan kepada penduduk di kawasannya.

Dari segi aset, Jeyakumar berkata beliau kini memiliki lima kereta, termasuk sebuah Kancil, hadiah daripada ibunya, dan sebuah Toyota Vios, yang adalah pemberian daripada bapa saudaranya.

Lihat Komen
ADS