Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibrahim bidas PKR namakan calon PM 'tiada moral'

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) membidas PKR kerana menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri ke-7 sedangkan mendakwa ketua umum PKR itu mempunyai masalah moral berkaitan kes liwat.

Katanya tindakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mempertahankan partinya menamakan Anwar sebagai perdana menteri, hanya memalukan diri sendiri.

"Saya simpulkan hujah Rafizi Ramli kata Anwar relevan sebagai calon PM akan datang menghina dirinya sendiri dan masyarakat secara am.

"Rafizi suka cakap mengenai kerajaan telus tetapi Rafizi kena tahu ia (kerajaan yang telus) bukan sahaja (perlu) bersih dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetapi dari segi moral dan akhlak.

“Mahkamah pun dah buktikan yang Anwar bersalah," katanya kepada pemberita dalam sidang di Ibu Pejabat PERKASA Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi semalam menegaskan Anwar masih relevan sebagai PM dan ketokohannya menyebabkan BN hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.

Anwar juga, kata Rafizi, mengetuai pakatan pembangkang memenangi undi popular untuk mengatasi BN pada PRU ke-13.

Pada Kongres PKR minggu lalu, parti itu sebulat suara menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri.

Malah, perkara itu diterjemahkan melalui sepanduk "Anwar PM ke-7" yang diangkat pemimpin parti itu sebaik sahaja Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menamatkan ucapannya.

Turut menyatakan tanda sokongan adalah barisan kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Bagaimanapun, Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad bersama presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak mengangkat sepanduk berkenaan.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang juga bekas anggota parlimen Pasir Mas berkata, Wan Azizah pula bukan calon sesuai untuk menjadi perdana menteri kerana dirinya adalah wanita.

“Wan Azizah saya reserve sikit sebab tak mudah wanita nak jadi perdana menteri untuk urus hal ehwal negara sebab banyak pergaulan," kata Ibrahim.

Tambahnya, sekiranya dipilih sekalipun, perkara pertama yang akan dilakukan Wan Azizah adalah meminta pengampunan untuk Anwar.

"Kalau (jadi perdana menteri) benda pertama yang dia akan buat ampunkan suaminya,” katanya.

Lihat Komen
ADS