Paling Popular
Terkini

Amerika Syarikat (AS) perlu menilai semula dasarnya mengenai Afghanistan setelah 15 tahun ia bertapak di negara itu memandangkan Asia Selatan kini berdepan dengan penyusupan puak ekstremis daripada kumpulan pengganas Daesh yang boleh meningkatkan lagi cabaran terhadap keselamatan di rantau berkenaan, kata seorang pakar pada Forum Asia Pasifik (APR) ke 31 di ibunegara semalam.

Felo terkemuka di Observer Research Foundation, Pinak Ranjan Chakravarty, berkata berikutan kegagalan AS untuk menubuhkan sebuah rejim stabil pasca Taliban dan ketidakmampuannya mengalahkan puak ekstremis di negara itu, rantau berkenaan kini mudah terdedah kepada kumpulan seperti Daesh.

"Daesh berjaya menembusi secara besar-besaran di Afghanistan dan di barat laut Pakistan. Sekiranya tidak disekat, Daesh akan menjadi cabaran baharu terhadap keselamatan di rantau itu apabila ia berganding bahu dengan kumpulan ekstremis kelahiran tempatan lain di Afghanistan dan Pakistan.

"Walaupun hubungan antara Daesh dengan Taliban, dan Daesh dengan Al Qaeda tidaklah begitu erat, namun organisasi yang amat longgar ini berkongsi unsur yang boleh mendekatkan sesama mereka, seperti kepentingan setempat," kata beliau pada sesi APR bertajuk - 'Bual Bicara: Pandangan Asia Mengenai Peranan Amerika di Asia.

Mengambil India sebagai contoh, pakar berpejabat di New Delhi itu berkata walaupun negara berkenaan cuba mengekang fahaman ekstremis, namun ia tetap mengalami penyusupan Daesh, terutama yang menyasarkan ramai penduduk Islam di India dan ini menjejaskan program domestik dan masyarakat negara itu.

Daesh, yang juga dikenali sebagai ISIL (Islamic State of Iraq and the Levant) adalah sebuah kumpulan militan terkenal yang berpangkalan di Iraq sejak 1993, yang kemudian melebarkan gerakannya ke Syria dan terus menonjolkan kehadirannya di peringkat antarabangsa dengan melakukan serangan ganas di seluruh dunia.

Taliban pula wujud sejak 1994 di Afghanistan dan Pakistan. Kumpulan itu memerintah Afghanistan sejak 1996, sebelum hilang kuasa pada 2001 hasil gerakan dikenali sebagai Operation Enduring Freedom diketuai AS.

Menurut laporan, Daesh mula bertapak di Asia Selatan pada 2015 melalui Afghanistan dan terus mengukuhkan kedudukannya di negara yang dilanda perang serta kucar-kacir itu. Kumpulan berkenaan mengaku bertanggungjawab bagi beberapa serangan besar yang berlaku di Afghanistan.

Chakravarty berkata beliau percaya kerajaan India bertindak cemerlang dalam mengawal kebangkitan gerakan pelampau Daesh melalui pelaksanaan satu daripada program khidmat masyarakat terbesar, termasuk menyekat rakyatnya daripada meninggalkan negara itu untuk menyertai kumpulan ekstremis berkenaan di negara lain.

Bagi mengekang kebangkitan puak ekstremis di rantau itu, India juga menyokong Afghanistan melalui pemberian bantuan pembangunan berjumlah antara AS$2 bilion hingga AS$3 bilion bagi membantu membangunkan infrastruktur seperti sekolah dan kemudahan perubatan di negara berkenaan selepas Taliban digulingkan pada 2001.

Bekas duta India di Bangladesh dan Thailand itu berkata, untuk mematahkan gerakan puak ekstremis di rantau berkenaan, pentadbiran AS juga perlu menarik penyertaan Pakistan memandangkan tujuh daripada 20 pertubuhan pengganas yang dikenal pasti AS terdapat di sub wilayah Afghanistan-Pakistan dilaporkan berada di Pakistan.

Sambil memetik laporan edisi kelima Suara Asia mengenai Peranan Amerika di Asia (AVARA), yang turut melibatkan penyertaan beliau, dan diterbitkan pada Februari, Chakravarty berkata negara Asia Selatan amat bimbang tentang prospek penarikan diri AS dari pentas global dan berharap negara itu tidak akan mengangkat kaki dari Afghanistan.

"Mereka percaya bahawa pengurangan secara tergesa-gesa penglibatan AS itu adalah berbahaya dan oleh demikian, wujud kebimbangan mendalam tentang kesungguhan politik di pihak Washington untuk mengekalkan komitmen keselamatan antarabangsanya yang telah wujud sejak sekian lama," kata beliau.

Asia Selatan merangkumi lapan negara dengan penduduk berjumlah kira-kira 1.8 bilion dan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sebanyak AS$2.6 trilion. Selain India, Pakistan dan Afghanistan, Asia Selatan terdiri daripada Bangladesh, Bhutan, Nepal, Maldives dan Sri Lanka.

- Bernama

Lihat Komen
ADS