Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
62,000 syarikat tak bayar GST - Kastam
Diterbitkan:  May 24, 2017 6:38 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Sebanyak 62,000 daripada 441,000 syarikat yang berdaftar di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenal pasti tidak mengikrar dan gagal membayar jumlah cukai dengan sempurna kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ketua Pengarah Kastam Datuk T Subromaniam berkata, pihaknya telah menghantar notis peringatan mesra kepada 21,000 syarikat pada fasa pertama minggu lepas dan akan menghantar notis sama kepada 41,000 lagi syarikat bagi fasa kedua dalam minggu ini.

Beliau berkata notis peringatan mesra itu adalah pendekatan yang diperkenalkan menerusi dasar baharu jabatan yang menumpukan kepada pematuhan melalui pendidikan berbanding pendekatan sebelumnya, pematuhan melalui penguatkuasaan.

"Syarikat terlibat boleh menyemak notis ini melalui 'Taxpayer Access Point' masing-masing. Saya meminta syarikat yang terlibat bertindak segera membuat pembetulan pengikraran, seterusnya mengambil peluang membayar amaun GST yang sepatutnya dibayar.

"Mereka diberi tempoh tiga bulan dari tarikh notis dihantar untuk berbuat demikian, jika gagal, tindakan tegas akan diambil kerana tempoh tiga bulan itu sudah cukup munasabah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 JKDM Sabah hari ini.

Turut hadir Pengarah JKDM negeri Datuk Dr Jonathan Kandok.

Subromaniam berkata notis itu diberikan melalui hasil semakan, penyata GST-03 dan lain-lain maklumat yang didapati tidak sepadan atau terdapat kesilapan sama ada disengajakan atau tidak termasuk pengikraran yang rendah.

Di Sabah, katanya, sebanyak 3,378 syarikat yang beroperasi di sini dikenal pasti tidak mengikrar dan membayar amaun GST yang kurang daripada sepatutnya.

Beliau berkata kebanyakan syarikat itu terdiri daripada sektor peruncitan termasuk pengusaha restoran dan outlet hiburan.

Dalam perkembangan lain, Subromaniam berkata prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencatat pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini, turut melambangkan peningkatan kepenggunaan.

"Apabila kepenggunaan meningkat, hasil kutipan GST juga meningkat," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS