Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tahan seorang lagi pegawai polis Melaka
Diterbitkan:  May 25, 2017 5:58 AM
Dikemaskini: 10:04 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi pegawai polis semalam - individu ke-13 - yang disyaki terbabit dalam kegiatan mengutip wang dari pengusaha pusat judi tanpa lesen dan rumah urut di sekitar Melaka.

Difahamkan, suspek berpangkat Assisten Superintendan (ASP) dan berumur 51 tahun, adalah ketua bahagian siasatan jenayah di sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) di Melaka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad ketika mengesahkan tangkapan itu, enggan memberi butiran lengkap mengenai tangkapan terbaru itu.

"Ada tangkapan tadi... maklumat lanjut akan kita beri nanti," beliau sekadar memberi maklumat itu kepada pemberita ketika ditemui semasa melakukan tinjauan mesra kempen Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) dan 3J iaitu 'Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle' di ibunegara.

Suspek dipercayai dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya dan akan direman bagi membantu siasatan seperti proses sama yang dilalui oleh mereka yang ditahan SPRM membabitkan kes sama sebelum ini.

Sejak 16 Mei lepas, SPRM telah menahan 12 individu termasuk dua ketua polis daerah di Melaka.

Tangkapan terakhir sebelum kes hari ini melibatkan seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) berumur 49 tahun yang juga bertugas sebagai ketua bahagian siasatan jenayah daerah Melaka Tengah.

Kesemua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

- Bernama

Lihat Komen
ADS