Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir akui Anwar antara calon PM HARAPAN
Diterbitkan:  May 25, 2017 11:44 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara calon perdana menteri Pakatan Harapan.

Beliau mengulas kajian oleh Invoke yang mendapati bahawa Anwar menjadi pilihan utama sebagai calon perdana menteri di kalangan penyokong pembangkang.

Mahathir bagaimanapun menekankan bahawa Pakatan Harapan mesti terdahulu memenangi pilihan raya umum ke-14.

“Kalau tak menang siapa pun tak boleh jadi 9perdana menteri. Yang utama (kita) menang.

“Kalau nak jadi calon sesiapa pun boleh jadi,” katanya kepada wartawan selepas ceramah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Kuala Lumpur malam semalam.

Disoal sama ada calon perdana menteri Pakatan Harapan akan diumumkan sebelum pilihan raya, Mahathir berkata mereka boleh berbuat demikian selepas pakatan itu menang.

“Bila menang boleh buat la, Tak menang bubuh nama (seperti) syok sendiri,” katanya.

HARAPAN dilaporkan berada dalam dilema mengenai siapa pilihan mereka sebagai calon perdana menteri.

Pada kongres kebangsaan PKR Ahad lalu, pemimpin PKR, DAP dan AMANAH menaikkan sepanduk ‘Anwar PM ke-7'.

Mahathir dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir pada kongres itu, bagaimanapun tidak berbuat demikian.

Kejar hingga lubang cacing

Dalam perkembangan lain, Timbalan Pengerusi BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang turut hadir pada program malam semalam, berkata siasatan ke atas skandal membabitkan 1MDB akan dijalankan sekiranya Pakatan Harapan berkuasa.

“Siapa didapati bersalah, kita humban dalam penjara, tak kira perdana menteri (sekalipun) ke,” katanya.

Kenyataannya disokong oleh Muhyiddin yang berkata satu suruhanjaya akan ditubuhkan untuk menyiasat dana pelaburan negara itu.

“Pertama kita buat, tubuh suruhanjaya siasat lubang cacing, kalau Najib terlibat sama, (akan) dibawa ke muka pengadilan. Kalau (beliau) salah, masuk penjara.

“Kalau (isteri Perdana Menteri Datin Seri) Rosmah (Mansor), (anaknya) Reza (Aziz), (ahli perniagaan) Jho Low pun terlibat. Semua kita tangkap

“Bukan pasal kita jahat, (tetapi) pasal ini hak rakyat,” katanya.

Turut bersetuju dengan tindakan itu, Mahathir berkata mereka akan mencari dalang yang bertanggungjawab di sebalik skandal itu.

“Bila dapat balik negara (kita) akan pulihkan keadaan, akan hapuskan GST (cukai barangan dan perkhidmatan), lepas itu (kita) akan kejar ke lubang cacing.

“Rambut pendek, (atau) panjang, kita tarik keluar (dari) lubang cacing. Mereka akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS