Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
61% mangsa jenayah seksual adalah kanak-kanak
Diterbitkan:  May 25, 2017 6:06 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Sebanyak 61 peratus daripada 12,926 mangsa kes jenayah seksual yang dilaporkan untuk tempoh tiga tahun sejak 2014 melibatkan kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata jumlah tersebut merupakan sesuatu yang serius kerana kanak-kanak terbabit akan membesar dengan kesan dalaman yang negatif.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu keganasan rumahtangga dan kanak-kanak dan peranan kami untuk memulihkan semula mangsa-mangsa keganasan rumahtangga dan mangsa seksual ini agar mereka dapat kembali meneruskan kehidupan dengan lebih baik," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas majlis penutupan kursus kepimpinan pegawai kanan polis wanita di sini hari ini, berkata statistik PDRM menunjukkan peningkatan kes keganasan rumahtangga kepada 5,796 kes tahun lepas berbanding 5,014 kes pada 2015.

Katanya kerajaan meletakkan komitmen tinggi dalam menangani isu itu dengan mewujudkan pelbagai undang-undang termasuk membentangkan cadangan undang-undang khas iaitu Rang Undang-Undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 selain meminda Akta Keganasan Rumahtangga 1994.

Dalam pada itu, Rohani berkata beliau berharap PDRM dapat mencapai sasaran 30 peratus pegawai kanan polis wanita di peringkat pembuat keputusan bagi pangkat Superintendan Polis dan ke atas.

"Menambah bilangan polis wanita sebanyak 15 peratus dalam jangka masa tiga tahun merupakan antara tujuh aspirasi untuk menjulang perkhidmatan polis wanita di negara ini," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata PDRM bersetuju untuk kembali mengaktifkan semua penugasan pegawai kanan polis wanita bagi misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang pernah mendapat pengiktirafan PBB pada 1974.

- Bernama

Lihat Komen
ADS