Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini melahirkan kebimbangan dengan kemungkinan PAS akan mensabotaj kerajaan Selangor menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi, berkata sebuah Sekretariat Pakatan Harapan diwakili DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan partinya perlu ditubuhkan.

Katanya, meskipun Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah agar barisan exco kerajaan negeri melibatkan keanggotaan pemimpin PAS terus kekal, namun ini tetap menjadi kebimbangan utama mereka.

"Istilah yang sesuai ialah duri dalam daging, musuh dalam selimut. Bagaimana sudah bercerai tetapi masih tidak mahu berpisah tempat tinggal?

"Melainkan ada agenda tertentu. Kami hormat keputusan Sultan Selangor yang mahu kerajaan sekarang ini kekal. Tetapi kami tetap khuatir PAS boleh sabotaj di Selangor.

"PAS bukan lagi dalam HARAPAN dan mereka boleh buat apa sahaja yang mereka suka.

“Itulah kekhuatiran kami ditambah dengan Umno yang ada niat nak kembali rampas Selangor," kata Abbas dalam sidang medianya di ibu pejabat AMANAH Selangor di Shah Alam, hari ini.

AMANAH membangkitkan kebimbangan itu ekoran berakhirnya kerjasama politik antara PAS dengan PKR yang terbina sejak PRU ke-12 pada 2008.

Menurut Abbas, kebimbangan mereka ditambah lagi dengan kemesraan PAS dengan Umno sejak kebelakangan ini yang didakwa boleh mempengaruhi pentadbiran kerajaan HARAPAN .

Azmin jawab

Justeru, katanya Pemuda AMANAH Selangor mendesak HARAPAN supaya menubuhkan sekretariat itu dengan kadar segera.

"Kita minta dalam kadar segera dan selanjutnya kami akan hantar surat kepada empat pengerusi negeri ini bagi menubuhkan sekretariat ini.

"Langkah awal, strategi dan merangka gerak kerja bersama perlu dibincangkan dan diputuskan oleh sekretariat ini,” katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis 25 Mei bersetuju mengekalkan tiga exco daripada PAS dalam pentadbiran Selangor sehingga PRU14.

Menurut baginda, kedudukan exco itu dikekalkan demi kestabilan pentadbiran negeri dan kepentingan rakyat.

Sebelum itu, Sultan Selangor mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berkenaan kedudukan semasa barisan kepimpinan negeri, selepas PAS memutuskan hubungan dengan PKR.

Tiga exco PAS di Selangor ialah Zaidy Abdul Talib yang memegang portfolio Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani; Datuk Iskandar Abdul Samad (Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar) dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains & Teknologi dan Inovasi).

Sementara itu Azmin yang ditemui petang ini hanya memberi ulasan ringkas mengenainya.

"Tak apa, isu dah selesai," katanya ketika ditemui di Hulu Kelang hari ini.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apakah yang dimaksudkan Azmin dengan "selesai" itu.

Azmin sebelum itu menghadiri majlis serahan sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau dalam parlimen Gombak serta Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa.

Lihat Komen
ADS