Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang wanita warga Vietnam ditemui mati dengan enam kesan tikaman di badannya di luar asrama kilang di flat Taman Belimbing, Bukit Tengah di Bukit Mertajam, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata mayat Tin Mar Moe, 28, yang bekerja kilang ditemui oleh penduduk kawasan itu dalam keadaan tertiarap di atas tanah sebelum mereka menghubungi polis pukul 8 malam.

"Semasa ditemui, mangsa dalam keadaan meniarap dan berpakaian kerja iaitu kemeja biru serta seluar hitam, dipercayai wanita itu baru balik bekerja dari kilang di kawasan berkenaan.

"Semakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian mendapati mangsa baru turun dari bas kilang kira-kira pukul 7.30 malam dan seorang lelaki dipercayai telah menunggu di hadapan pintu asrama berkenaan," katanya di Bukit Mertajam hari ini.

Katanya, lelaki itu dipercayai mengejar mangsa dengan sebilah pisau dan menikam wanita itu di beberapa bahagian tubuh mangsa.

Nik Ros Azhan berkata semasa pergelutan itu, pemandu bas kilang berkenaan melihat kejadian tersebut dan semasa cuba membantu mangsa, suspek melarikan diri.

"Pemeriksaan awal di badan mangsa menemui terdapat enam kesan tikaman dan polis turut menemui beberapa barang peribadi wanita itu bersamanya," katanya.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian telah menjumpai sebuah beg berwarna hitam dipercayai milik suspek yang terjatuh semasa berlaku pergelutan antara mereka.

Beliau berkata dengan bantuan unit anjing pengesan, polis berjaya mengesan lelaki juga warga Vietnam sedang bersembunyi di dalam parit berhampiran tempat kejadian, kira-kira 70m dari lokasi suspek menikam mangsa.

"Polis turut menjumpai sebilah pisau berukuran 26sm yang digunakan lelaki itu untuk menikam mangsa dan sebuah telefon bimbit milik wanita berkenaan," katanya kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya siasatan lanjut terhadap motif sebenar kejadian itu masih dijalankan dan lelaki berusia 26 tahun yang bekerja di kilang yang sama dengan mangsa kini direman bagi membantu siasatan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS