Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih 300 pegawai pantau harga pada Hari Gawai

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menggerakkan lebih 300 pegawai penguat kuasa dan 112 pegawai pemantau harga bagi memantau Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Gawai 2017.

Timbalan Menterinya, Datuk Henry Sum Agong berkata tindakan itu bagi memastikan peniaga menjual 13 jenis barangan harga terkawal itu tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

SKHMP Hari Gawai bermula hari ini hingga 2 Jun ini di Sarawak dan 25 Mei hingga 31 Mei sempena Pesta Kaamatan di Sabah.

'Pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga, yang berpakaian preman, akan bergerak membuat tinjauan di semua premis perniagaan bagi memastikan peniaga mematuhi skim kawalan harga yang ditetapkan," katanya pada sidang media ketika melakukan pemeriksaan di sebuah pasar raya di Kuching hari ini.

Tahun lepas, katanya, pihaknya mengesan lapan kes peniaga melakukan kesalahan tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain sempena pelaksanaan SKHMP Hari Gawai.

Menurutnya, peniaga individu yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga maksimum RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.

Katanya, kesalahan syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau boleh dikompaun sehingga RM250,000.

"Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda RM10,000 atau dikenakan kompaun RM5,000 manakala bagi syarikat boleh didenda RM20,000 atau dikenakan kompaun sehingga RM10,000," katanya.

Senarai barangan harga terkawal merangkumi ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, kepak ayam, telur ayam gred A, B dan gred C, bawang putih (China), daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak),babi hidup dan kubis bulat import (Indonesia dan China).

-Bernama

Lihat Komen
ADS