Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pereka fesyen: Leissner tak biayai saya
Diterbitkan:  May 28, 2017 2:30 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Pereka fesyen dan model, Kimora Lee Simmons menafikan dakwaan bahawa perniagaan beliau dibiayai oleh suaminya Tim Leissner - seorang jurubank yang dikaitkan dengan 1MDB.

"Saya biayai perniagaan saya sendiri ... Saya berada dalam industri fesyen sejak (berumur) 12, menjadi model dan semuanya," katanya.

Simmons mengulas laporan New York Post yang mendakwa jenama Kimora Lee Simmons bakal menjadi "mangsa" kepada siasatan rasuah antarabangsa.

Leissner dilaporkan secara meluas terlibat dalam usaha mendapatkan berbilion-bilion dolar untuk 1MDB, bagi memperoleh komisen besar bagi Goldman Sachs dan dirinya.

Bagaimanapun, beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara pada Februari tahun lepas, susulan surat tanpa kebenaran pihak berkuasa kepada sebuah institusi kewangan di Luxembourg yang mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan Malaysia, Jho Low.

Menurut New York Post, adalah dipercayai bahawa Leissner membiayai rekaan fesyen Kimora Lee Simmons dengan memetik perniagaan berkenaan mempunyai "Infrastruktur luar biasa yang dibiayai".

Laman web bagi jenama ini menunjukkan bahawa Simmons menjual blaus yang menelan belanja sehingga AS$ 595 (RM2,539).

Mengenai sama ada dia mendapatkan nasihat perniagaan dari Leissner, Simmons turut menafikannya.

Beliau berkata laporan oleh New York Post merugikan industri fesyen dan merupakan satu serangan ke atas jenama beliau.

Lihat Komen
ADS