Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Syed Saddiq biadab, budak hingusan dalam politik'
Diterbitkan:  May 28, 2017 8:33 PM
Dikemaskini: 1:43 PM

Penyelaras gerakan Deklarasi Rakyat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersikap biadab apabila menggesa naib presiden parti itu, Datuk Hamidah Othman meletakkan jawatan.

Menyifatkan Syed Saddiq sebagai "budak hingusan" dalam politik , Khairuddin berkata cabar mencabar tidak akan dapat menyelesaikan masalah dan kemelut yang melanda BERSATU.

"Reaksi budak hingusan Syed Saddiq ini akan membuatkan lebih ramai rakyat jelata bertambah menyampah dengan parti BERSATU nanti.

"Cabar mencabar bukan caranya untuk selesaikan kemelut terkini dalam PPBM (BERSATU). Budak hingusan ini jangan terlalu angkuh kerana dia terlibat dalam politik hanya setahun jagung saja," kata Khairuddin merujuk kenyataan Syed Saddiq seperti dilaporkan oleh portal Free Malaysia Today.

Antara lain, Syed Saddiq menuduh Hamidah mendalangi tindakan kira-kira 1,000 ahli BERSATU Perak keluar daripada parti itu baru-baru ini.

Berhenti cabar Hamidah

Sambil mengakui sebagai orang luar tidak berhak campur tangan dalam urusan BERSATU, Khairuddin yang dikenali sebagai penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat kini sedang memerhati kemelut yang melanda parti itu.

"Ia mesti ditangani secara profesional dan sebaik mungkin ke arah menyelesaikan segala konflik yang timbul secara positif," katanya.

Khairuddin pada masa sama turut mempertikaikan kemampuan Syed Saddiq menerajui sayap Pemuda BERSATU, terutama dalam menarik golongan muda menyertai parti itu.

"Banyak ilmu politik lagi yang Syed Saddiq harus pelajari. Dia ini hakikatnya tak sehebat mana pun tapi cakap saja pandai," tegasnya.

"Secara jujur dan ikhlas; saya ingin nasihatkan Syed Saddiq agar tidak perlu cabar Datuk Hamidah selaku naib presiden BERSATU. 

"Ilmu politik Datuk Hamidah amat tinggi dan terbukti sekiranya dibandingkan dengan Syed Saddiq yang masih terlalu mentah dalam arena politik. Sifat angkuh seperti budak hingusan Syed Saddiq ini mesti dihindari dalam politik," katanya.

Dilaporkan semalam lebih 1,000 anggota BERSATU umum keluar parti diketuai Ketua BERSATU bahagian Ipoh Timur, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar, Ketua BERSATU bahagian Teluk Intan, Jemaat Yaacob dan enam pemimpin bahagian lain.

Menjawab dakwaan Azrul, Pengerusi BERSATU Perak, Faizal Azumu Ahad lalu menafikan sesetengah anggota daripada 24 bahagian di negeri itu menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Lihat Komen
ADS