Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Nasional hari ini membuat laporan polis besar-besaran bagi menggesa siasatan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak lagi mengedarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) kepada parti politik.

Tindakan ini ekoran tidak berpuas hati terhadap sikap Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang terus membisu sejak demonstrasi yang diadakan seminggu yang lalu.

Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan berkata, apa yang lebih mencurigakan pihaknya kini adalah apabila mendapati terdapat senarai terbaru daftar pemilih bagi suku pertama 2017 dalam buku RDPT itu.

Jelas Nik Abdul Razak, pada 29 April yang lalu, SPR menyatakan mereka tidak lagi akan membekalkan salinan cakera padat dan buku RDPT yang mengandungi senarai terbaru pilih bagi suku pertama 2017.

Katanya, ini kerana suku pertama 2017 mencatatkan pendaftaran paling tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Kenaikan 500 peratus pendaftaran pengundi baru dan juga pertukaran alamat.

"Jadi, ia bukan satu kebetulan pertambahan pendaftaran luar biasa dan tiba-tiba SPR tidak mahu keluarkan senarai yang mencatatkan kenaikan berganda itu.

"Itu suatu yang mencurigakan, mungkin ada pihak yang cemas dengan peningkatan pengundi baru ini dan mungkin ada campur tangan.

"Jadi, kerana kemungkinan itu kami melaporkan kepada pihak polis," kata Nik Abdul Razak ketika ditemui di perkarangan ibu pejabat polis (IPD) daerah Dang Wangi, hari ini.

Dalam perhimpunan 23 Mei lalu, Pemuda dan Wanita Pakatan Harapan bertindak mengunci pintu pagar ibu pejabat SPR di Putrajaya selepas badan itu didakwa enggan menerima bantahan mereka.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Razak berkata, empat hari lepas, sebulan selepas SPR tidak lagi mengeluarkan RDPT itu satu lagi pengumuman yang mengejutkan telah dibuat.

Kata Nik Abdul Razak, SPR telah mengeluarkan senarai semakan untuk suku pertama menambahkan lagi 28,000 daftar pemilih.

"Ini tidak pernah berlaku dan alasan mereka kesilapan di pihak SPR yang gagal memasukan dalam senarai awal RDPT bagi suku pertama.

"Mereka mengakui ini kesilapan mereka dan paling menarik ia adalah satu keaiban SPR yang penuh pengalaman menguruskan pilihan raya boleh terlepas 28,000 nama dan kemungkinan besar berlaku penyelewengan," tegas Nik Abdul Razak.

Terdahulu Nik Abdul Razak bersama Ketua Pemuda AMANAH Pusat hadir ke IPD Dang Wangi sekitat jam 10.30 pagi dan keluar sejam kemudian.

Sebanyak 14 laporan polis dibuat terhadap SPR hari ini oleh Pemuda AMANAH di seluruh negara.

Lihat Komen
ADS