Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai MP aktivis pertama didakwa mengikut PAA
Diterbitkan:  May 30, 2017 3:50 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Mahkamah hari ini menetapkan 5 Julai untuk sebutan kes melibatkan seorang aktivis BERSIH5 yang didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

Pembantu peribadi anggota parlimen Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, dituduh mengikut akta berkenaan kerana terlibat dalam konvoi BERSIH5 pada tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Taiping, Mohd Sabri Ismail, membenarkan Hairul Nizam dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000.

Safiyatun Ahmadun bertindak sebagai timbalan pendakwa raya manakala peguam Mohamed Azhar Shah Zainal Arif hadir mewakili tertuduh.

Kumpulan pendesak pembaharuan pilihan raya, BERSIH, mengadakan kempen di seluruh negara mengajak orang ramai menyertai himpunan di tengah Kuala Lumpur pada 19 November tahun lalu.

Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 - atau Sosma - menjelang perhimpunan berkenaan.

Tiga lagi anggota sekretariat BERSIH - Mandeep Singh, Zoe Randhawa dan Chan Tsu Chon - turut disiasat mengikut akta berkenaan.

Seorang anggota sekretariat BERSIH, Lee Chung Lun, berkata lebih 100 individu disoal siasat polis berhubung perhimpinan berkenaan.

"Tetapi Hairul adalah orang pertama dituduh mengikut Akta Perhimpunan Aman, ia sangat melampau," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Lee, notis 10 hari yang mesti diberi kepada penganjur sesuatu perhimpunan kepada pihak berkuasa sebelum ia berlangsung adalah tidak wajar.

"Kerajaan perlu berhenti mendakwa orang ramai yang mengadakan perhimpunan aman menggunakan alasan ini," katanya.

Anggota Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Raya turut hadir di mahkamah hari ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS