Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar mengingatkan semua pihak agar lebih waspada dengan setiap tindakan mereka lebih-lebih lagi yang menyentuh sensitiviti kaum.

"Kita boleh berkempen. Tetapi ada masanya kita nak berkempen pun kenalah hormati rumah ibadat.

“Saya pun kalau pergi kawasan bukan Islam, tengok tempat dan tak berkempen politik.

“Kita kena tahu masa bila boleh gunakan kedudukan kita sebagai anggota parlimen atau masa bila kita tak perlu hadir ke program-program terutamanya tempat-tempat yang agak sensitif," kata Noh Omar.

Anggota parlimen Tanjong Karang itu berkata berkata demikian dalam sidang media selepas majlis agihan bubur lambuk kepada warga Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya, hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim semalam berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan tindakan anggota parlimen Subang R Sivarasa.

Ini susulan wakil PKR itu didakwa memberi ceramah berkaitan politik di Masjid An Nur Kampung Melayu Subang dekat Klang Rabu lepas.

Bagaimanapun, Sivarasa dilapor menjelaskan beliau hadir untuk menyampaikan sumbangan dan hanya berucap ringkas “menyampaikan salam Ramadan” dan menegaskan komitmen Selangor membantu institusi surau dan masjid.

Katanya, beliau juga hadir sebagai anggota parlimen yang dipilih oleh majoriti pengundi pelbagai agama, termasuk Islam.

Bukan perkara baru

Sementara itu, Noh berkata, larangan Sultan Sharafuddin itu bukan perkara baru dan mesti menjadi keutamaan kepada setiap pemimpin di negeri itu untuk saling hormat-menghormati.

"Malah dulu satu ketika saya masih ingat arahan ini ditampal di masjid-masjid supaya masjid ini tidak digunakan sebagai ruang berpolitik, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

"Oleh itu, teguran pihak istana ini memang sesuai sekali lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini agar dapat hormat-menghormati satu sama lain," kata Noh.

Lihat Komen
ADS