Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semua pihak boleh menamakan diri mereka sebagai calon pilihan raya umum (PRU) ke 14 akan datang namun keputusan muktamad tertelak di tangan perdana menteri, kata Tan Sri Noh Omar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menjelaskan selepas itu anggota BN perlu akur dengan ketetapan yang dibuat pucuk pimpinan.

Noh juga menjelaskan, ketika ini bukan saja nama calon belum diputuskan, malah pembahagian kerusi juga belum dimuktamadkan.

"Agihan kerusi pun kita tak boleh nak komen, apa lagi calon. Tapi siapa nak bercakap bolehlah bercakap apa pun," katanya pada sidang media selepas majlis agihan bubur lambuk kepada warga KPKT di Putrajaya hari ini.

Noh yang juga ketua perhubungan Umno Selangor diminta mengulas mengenai kenyataan seorang pemimpin parti negeri itu, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang menamakan dua calon untuk diturunkan mewakili BN di Sekinchan.

Pengumuman itu dibuat Jamal ketika merasmikan bilik gerakan pilihan raya Sabak Bernam pada 20 Mei lalu.

Jamal mengumumkan Ketua Pemuda MCA Sungai Besar, Ng Boon Keong dan juga Ahli Jawatankuasa Umno Sungai Besar, Samad Wahab sebagai bakal calon bagi kerusi Sekinchan.

Dewan Undangan Negeri Sekinchan memang menjadi antara kubu kuat DAP di Selangor. Ketika ini ia diwakili Ng Sue Lim yang mengalahkan calon BN, Kek Seng Hooi, dengan majoriti 2,239 undi.

Sekinchan terletak di bawah kawasan parlimen Sungai Besar dan Jamal adalah ketua Umno bahagian berkenaan.

Jamal juga dilihat begitu aktif kebelakangan ini dengan terlibat dengan pelbagai aktiviti yang dilihat sebagai usaha melonjakkan popularitinya.

Lihat Komen
ADS