Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini mengesahkan gabungan itu sudah memuktamadkan logo bersama yang akan diberi nama sebagai Harapan.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata logo itu akan diumumkan secara rasmi kepada umum pada Jumaat minggu hadapan.

"Kita bersetuju dengan logo Harapan, kita pakai perkataan Harapan dengan sedikit pengubahsuaian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri berkata logo itu dicipta daripada pengubahsuaian tulisan.

Penggunaan logo bersama adalah satu daripada isu yang selalu gagal diselesaikan dengan berkesan oleh pakatan pembangkang sejak sekian lama.

Bagaimanapun usaha itu digiatkan melalui HARAPAN ketika tarikh pilihan raya - walaupun menjadi rahsia seperti selalu - dijangka semakin hampir.

Tiga negeri terbabit

Cadangan logo bersama itu juga pernah menjadi senjata makan tuan apabila dipersenda dan dikecam orang ramai selepas didedahkan baru-baru ini.

HARAPAN adalah gabungan PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan BERSATU.

Sementara itu, mengulas perkembangan terkini mengenai calon perdana menteri HARAPAN, Dr Mahathir berkata ia belum dibincangkan lagi.

"Belum cakap lagi," kata Mahathir.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad pula memberitahu selain daripada logo, Majlis Presiden HARAPAN turut membincangkan mengenai pembahagian kerusi dan manifesto.

Anggota Parlimen Shah Alam itu berkata, HARAPAN akan memuktamatkan pembahagian kerusi dalam masa sebulan.

Kata Khalid, pembahagian kerusi yang dibincagkan itu itu membabitkan tiga buah negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Lihat Komen
ADS