Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Musa: Isu naib canselor UMS diserah kepada menteri
Diterbitkan:  Jun 1, 2017 6:24 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Kebimbangan berhubung isu bukan anak Sabah bakal mengambil alih jawatan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah dimaklumkan kepada menteri bertanggungjawab, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata isu itu merupakan kepentingan bersama banyak pihak, termasuk mereka dalam Barisan Nasional Sabah.

Menurut beliau, perkara tersebut telah dibawa ke Kabinet negeri untuk perbincangan dan semua bersetuju isu itu memerlukan perhatian menteri pendidikan tinggi.

"Saya tahu ramai yang khuatir. Saya telah membangkitkan isu ini dengan menteri bertanggungjawab dan menyuarakan harapan bahawa naib canselor UMS yang baharu nanti mestilah dari Sabah.

"Saya percaya kita mempunyai mereka yang berkelayakan dari sini untuk mengisi jawatan itu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Musa bagaimanapun meminta orang ramai untuk bertenang kerana masih tiada keputusan dibuat berkaitan pelantikan itu.

"Saya juga minta pihak media terutama media sosial agar tidak mensensasikan perkara tersebut. Saya tahu ia akan dijadikan isu politik oleh pembangkang seperti yang dijangka," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS