Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mustapa harap insiden DUN Nenggiri jadi teladan
Diterbitkan:  Jun 2, 2017 5:42 AM
Dikemaskini: 11:02 PM

Barisan Nasional (BN) Kelantan akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri walaupun penyandangnya dari Umno dilucutkan kelayakan sebagai wakil rakyat, kata Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa, yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan berkata pihaknya akur dengan keputusan dibuat Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub yang melucutkan kelayakan penyandang kerusi itu, Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani kerana muflis.

"Sepanjang berkhidmat selaku Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Saudara Mat Yusoff telah memberi khidmat terbaik dan penuh komitmen kepada pengundi Nenggiri.

"Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa beliau dan pada masa yang sama berharap insiden ini menjadi teladan kepada wakil-wakil rakyat Barisan Nasional yang lain supaya ia tidak berulang di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Sebelum ini, Abdullah dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim petang semalam mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri kosong berikutan penyandangnya Mat Yusoff diisytiharkan muflis, selepas menerima surat pemakluman daripada Jabatan Insolvensi Malaysia cawangan Selangor pada 28 Mei lepas.

Beliau berkata Perkara 31(1)(b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan seseorang yang muflis dan masih belum diselesaikan tidak layak menjadi ADUN Kelantan.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS