Bekas senator Mohamad Ezam Mohd Nor berharap kemelut Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Perak tidak dikaitkan dengannya.

Katanya, kes beliau tidak ada kena mengena dengan rasa tidak puas hati pemimpin tertentu, tetapi demi memberi tumpuan kepada isu rasuah melalui parti khusus.

“Saya merasa keperluan untuk menjelaskan bahawa pengunduran saya dari BERSATU dahulu tidak ada kaitan dengan mana-mana pemimpin.

“Alasan saya pada masa itu ialah untuk memberi perhatian khusus kepada isu rasuah khususnya kes 1MDB dan SRC.

"Alasan itu kekal sehingga hari ini,” katanya.

Exco srikandi BERSATU Zulaiha Sidek sebelum ini meletak jawatan kerana telah hilang kepercayaan kepada parti dan mendakwa BERSATU Perak sedang bergolak.

Naib Presiden parti itu Datuk Hamidah Othman juga mengakui wujudnya masalah dalaman di Perak, melibatkan sikap berpuak-puak dalam pemilihan jawatan.

Ketua Penerangan BERSATU Perak Datuk Kamarudin Md Nor bagaimanapun melihat apa yang berlaku sebagai proses “saringan untuk memisahkan sekam dari padi”.

Dalam kenyataan hari ini, Ezam bagaimanapun berkata beliau sedih dengan kemelut itu dan berdoa ia diselesaikan secara baik “demi kelangsungan perjuangan besar bangsa ini menuju perubahan”.

Tidak lama selepas memohon menyertai BERSATU, bekas anggota Umno dan pengasas PKR itu, mengambil alih Parti Generasi Baru yang dijenamakan semula sebagai Parti Bebas Rasuah.