story images
story images
mk-logo
Berita
Kita bertuah sebab Najib sangat telus
Diterbitkan:  Jun 2, 2017 4:53 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Pembangkang harus sedar, ketua parti bertanggungjawab mencari dana bagi memastikan segala program dapat dijalankan, kata Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Justeru, anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, Umno merupakan sebuah parti yang beruntung kerana mempunyai seorang presiden yang telus, iaitu Datuk Seri Najib Razak.

"Kita (Umno) beruntung kerana ketua parti kita sangat telus. Datuk Najib sudah terangkan banyak kali (dari mana dana untuk parti itu diperolehi) tetapi pembangkang ini, cakap apa pun mereka tidak akan percaya," katanya kepada Umno Online.

Anggota Dewan Undangan Negeri Lanchang di Pahang itu mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Muhajid Yusof Rawa, baru-baru ini.

Dalam keyataan yang disiarkan Malaysiakini Mujahid meminta semua ketua bahagian Umno dan parti komponen BN yang menerima dana didakwa dari kantung SRC International supaya bertaubat dan memulangkan wang berkenaan kerana ia adalah milik rakyat.

SRC suatu ketika dulu ialah anak syarikat 1MDB yang ditubuhkan kerajaan.

Pengkritik mendakwa wang berkenaan disalurkan dari SRC ke akaun persendirian Najib.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sudah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku atau penyelewengan.

Mohd Sharkar berkata seorang ketua parti memang bertanggungjawab mencari dana untuk menggerakkan sebarang aktiviti mereka.

Terbukti 'suka menipu'

Orang bawahan pula, katanya, tidak pernah bertanya dari mana dana berkenaan diperolehi.

“Memang kerja ketua parti cari duit... contoh ketua-ketua bahagian saya minta duit untuk jalankan aktiviti, mereka tidak pernah tanya duit datang dari mana.

"Kalau ketua parti tidak boleh cari duit, maka jangan jadi ketua parti," katanya lagi.

Sehubungan itu Mohd Sharkar meminta agar pembangkang berhenti memainkan isu 1MDB yang didakwanya dikitar semula serta diputar belit.

"Pembangkang sebenarnya semakin terdesak dan tandus isu... isu 1MDB sudah diterangkan banyak kali dan semuanya telah dijawab tapi mereka (pembangkang) asyik kitar semula.

"Tolonglah move on, jangan asyik cari publisiti murahan," katanya lagi.

Mohd Sharkar juga menasihati Mujahid supaya sedar bahawa segala yang didedahkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli adalah perkara yang tidak betul.

"Apa yang didedahkan oleh Rafizi bukannya betul kerana telah terbukti Rafizi suka menipu," katanya.

Lihat Komen
ADS