Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
20 dicekup lumba haram semasa umat Islam solat tarawih
Diterbitkan:  Jun 3, 2017 6:09 AM
Dikemaskini: 10:33 PM

Dua puluh remaja terpaksa menolak motosikal mereka sejauh tiga kilometer selepas dicekup polis berlumba haram di Bandar Paka malam semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata remaja berusia dalam lingkungan 14 hingga 18 tahun itu ditahan ketika leka melakukan pelbagai aksi berbahaya di sepanjang Jalan Santong - Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah semasa kebanyakan umat Islam menunaikan solat tarawih.

Katanya kumpulan itu ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun kerana menjadikan laluan itu sebagai litar lumba sekaligus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk setempat.

"Operasi yang bermula pada jam 10 hingga 12 malam itu adalah berdasarkan pada aduan orang ramai.

"Sebelum tangkapan dilakukan, pihak polis turut melakukan intipan bagi mengenal pasti laluan utama yang digunakan mereka untuk berlumba," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata polis menyita lapan buah motosikal dan mengeluarkan 42 saman kepada kesemua remaja terbabit atas pelbagai kesalahan berkaitan trafik.

Antara kesalahan mereka ialah tidak memakai topi keledar, cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

Ahmad Zailani turut mengingatkan ibu bapa mengambil tahu pergerakan anak-anak mereka supaya tidak terjebak dalam aktiviti lumba haram dalam usaha mengekang gejala itu.

"Ibu bapa boleh dikenakan tindakan kerana membenarkan anak mereka yang di bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS