Tikus taconic akan dibawa ke stesen angkasa ISS
Kapal angkasa SpaceX Dragon yang akan melakukan misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) akan turut membawa 40 tikus khas.
Tikus berkenaan diternak khusus untuk misi itu oleh Taconic Biosciences, peneraju global dalam penghasilan model tikus memiliki genetik istimewa dan perkhidmatan berkaitan.
Projek ini adalah usaha sama University of California, Los Angeles (UCLA), the Centre for the Advancement of Science in Space (CASIS), BioServe dan NASA.
Bagi misi dikenali sebagai 'Rodent Research-5' ini, penyelidikan sokongan mengenai tikus Taconic diketuai Dr Chia Soo, profesor pembedahan di UCLA Schools of Dentistry, Engineering and Medicine.
Kajian itu berlandaskan molekul NELL-1, sejenis protein dihasilkan tubuh manusia yang sangat penting bagi pertumbuhan dan perkembangan normal tulang, kata Taconic Biosciences dalam satu kenyataan.
Empat puluh tikus berkenaan yang diberi molekul tersebut akan dilancarkan ke ISS bagi menguji sama ada kehadiran molekul itu menghalang kelesapan tulang yang lazimnya dikaitkan dengan mikrograviti. Kekurangan graviti di angkasa mempercepatkan proses semula jadi kelesapan tulang.
"Tikus hidup itu akan kembali ke bumi untuk menjalani penilaian lanjut oleh pasukan Dr Soo setelah mereka hidup dalam persekitaran mikrograviti. Pasukan itu berharap akan dapat menggunakan dapatan berkenaan untuk mencipta terapi yang mampu menghalang kelesapan tulang dan meningkatkan pertumbuhan serta kekuatan tulang dalam tubuh manusia," kata kenyataan itu.
- Bernama

