Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki lima mangsa bot pelancong jenis katamaran yang karam di perairan Pulau Mengalum pada 28 Januari lalu ditamatkan kira-kira jam 9.20 pagi semalam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kenyataan semalam berkata operasi ditamatkan selepas pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk positif mengenai mangsa sepanjang 126 hari SAR dijalankan.

"Pihak APMM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi atas kerjasama yang diberikan sepanjang operasi SAR dijalankan," menurut APMM.

Dalam kejadian 28 Januari lalu itu, bot pelancong jenis katamaran berkenaan yang membawa 28 pelancong China dan tiga anak kapal karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar ketika dalam perjalanan menuju Pulau Mengalum.

Sepanjang operasi SAR, 26 daripada mangsa telah dijumpai termasuk empat yang maut manakala lima lagi masih hilang.

- Bernama