Rakan-rakan kenang saat bersama Rehman Rashid
Rakan-rakan wartawan dan penulis Rehman Rashid, 62, yang meninggal dunia hari ini mempunyai pelbagai kenangan indah bersama beliau ketika hayatnya.
Bagi mereka, bekas editor bersekutu New Straits Times (NST) ini memiliki personaliti yang berwarna-warni dan kreatif.
Beliau adalah seorang yang mementingkan peraturan dan merupakan petugas cemerlang sejak menyertai akhbar tersebut pada 1981, kata veteran NST, K.H Lim.
"Seperti banyak personaliti kreatif lain, Rehman bertegas mahu melakukan sesuatu mengikut caranya sendiri, walaupun ini tidak dipersetujui para editor, namun setiap daripada mereka menghormati kejelasan pemikirannya, kemahiran kesusasteraannya dan lebih-lebih lagi dengan perbendaharaan kata yang padat yang dipamerkan dalam setiap artikelnya.
"Penulis muda hari ini akan berkata ia satu kehebatan. Ya, dia sesungguhnya penulis hebat. Dia bermain dengan kata-kata dan nadanya tiada bandingan," kata bekas editor bisnes dan ketua editor berita NST itu.
Lim yang kini mengurus Ming, KH & Associates Sdn Bhd turut mengingati Rehman sebagai seorang yang pandai berjenaka walaupun ia kadang-kadang keterlaluan.
"Mungkin ini kerana latihan yang diterimanya sebagai ahli biologi marin sebelum menceburi bidang kewartawanan. Kita semua akan merinduinya. Semoga dia bersemadi dengan aman," kata Lim.
Rehman yang menghasilkan buku seperti Small Town in 2016; Pangkor: Treasure of the Straits dan Peninsula: A Story of Malaysia meninggal dunia di Hospital Selayang pada 6.30 pagi tadi.
Jenazah bekas Wartawan Cemerlang Institut Akhbar Malaysia (MPI) 1985 ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kubu Bharu Road kira-kira 2.30 petang.
Timbalan Editor Sukan NST, Chan Kai Wong pula mengingati Rehman seorang seorang penulis yang hebat yang membentuk perkataannya sendiri.
Baginya, Rehman adalah seorang yang terpelajar, berbudaya dan sopan, namun tidak teragak-agak untuk mengeluarkan pendapat sendiri walaupun ia berbeza dengan pandangan orang lain.
"Ia menyeronokkan untuk bekerja dengan Rehman dan dia pernahmembantu saya untuk membaca pruf muka surat berita apabila saya kekurangan staf walaupun dia dari jabatan lain.
"Sekali saya beritahu Rehman yang saya tidak boleh menulis sepertinya kerana saya menggunakan perkataan mudah. Dia menjawab balik sambil tersenyum "Tuan untuk menulis paling mudah adalah yang paling sukar," kata Chan.
Bagi Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang, beliau juga menyifatkan Rehman sebagai seorang penulis yang hebat yang payah dicari.
"Dia dikurniakan bakat yang di negara kita, bakat seperti itu amat sukar diperoleh terutama dengan kelemahan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda Malaysia," katanya.
- Bernama

