Walaupun ada pihak mengkritik kerajaan Pulau Pinang sebagai anti-Islam dan anti-Melayu, Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) yang ditaja kerajaan negeri sibuk mewujudkan aplikasi mudah alih bagi umat Islam.

Dilancarkan pada Jumaat, aplikasi itu dapat membantu serta menggalakkan umat Islam meningkatkan ibadah serta produktiviti mereka sepanjang bulan Ramadan.

Setakat ini, lebih 1,300 telah memuat turun aplikasi itu yang boleh didapati di Google Store, di mana umat Islam di seluruh dunia boleh menyimpan senarai semak, antara lain mengenai solat tarawih mereka, puasa dan zakat.

Pengurus YIPP Mohd Fitri Ibrahim, berkata aplikasi itu masih memerlukan banyak ruang untuk penambahbaikan termasuk menambah ciri seperti bacaan al-Quran dan hadis.

Mohd Fitri berkata, usaha itu tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan pengerusi YIPP dan Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman serta Timbalan Ketua Menteri I Rashid Hasnon.

Pada majlis itu, Mansor berkata aplikasi itu akan memberi manfaat kepada semua umat Islam dan selaras dengan usaha YIPP mempromosikan Islam di Pulau Pinang.

Usaha lain termasuk membangunkan Balai Haji Pulau Pinang dan hospital patuh syariah, yang majlis pecah tanahnya diadakan pada tahun lepas dan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.