ULASAN | Keesokan harinya, aku bersiap awal. Janji temu itu ditetapkan pada jam 1 petang, 18 Mei 2017. Namun aku sudah berada di pejabat Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi seawal jam 11.30 pagi.

Terima kasih atas kemudahan aplikasi Google Maps, dan perkhidmatan Uber yang memang banyak di Doha ini.

Ia adalah bangunan bersebelahan dengan sebuah sekolah. Selain pejabat, ia turut menempatkan rumah al-Qaradawi serta perpustakaan beliau.

Aku melihat bangunan itu. Rumah al-Qaradawi terletak di bahagian hujung dan agak besar tetapi sama sekali tidak sebesar istana seperti dinyatakan seorang ustaz di Malaysia.

Ada loceng di luarnya. Aku menekan dan menunggu. Agak lama namun pintu tidak juga dibuka. Ada sedikit rasa cemas. Lantas aku menghantar mesej kepada Ali si penyambut tetamu pejabat KUIS.

Rupa-rupanya loceng itu bukanlah penggera untuk pejabat al-Qaradawi sebaliknya langsung ke rumah. Patutlah pintu tidak dibuka selepas sekian lama.

Untuk makluman, ada dua pagar dan dua loceng di bangunan itu. Kanan adalah loceng pejabat manakala kiri khusus untuk kediaman beliau.

Dari luar pejabat al-Qaradawi tidak kelihatan seperti sebuah pejabat. Dengan keadaannya yang tertutup, orang boleh saja menyangka ia adalah sebuah rumah persendirian.

Tiada juga papan tanda atau notis mengatakan itu adalan premis pejabat.

Dipimpin memasuki lif

Lantas aku menekan loceng di bahagian kanan. Sebentar saja pintu pun terbuka. Mungkin Ali sudah memaklumkan mengenai kedatangan aku ketika itu.

Di dalam, rupa-rupanya keadaan jauh berbeza. Ada hampir 20 orang sedang tekun bekerja di situ. Mereka adalah petugas untuk al-Qaradawi.

"Janji temu kamu jam 1 ya," kata Dr Fauzi, seorang daripada anak murid al-Qaradawi. Aku membalas dengan senyuman lantaran aku faham mungkin aku sampai terlalu awal.

Sementara menunggu mataku melilau melihat keadaan sekeliling pejabat berkenaan. Di rak buku ada banyak bahan bacaan dan satu daripadanya mengundang bangga kepadaku.

Ia adalah buku karangan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Sedang mataku ingin menuju ke salah satu buku, tiba-tiba ada pemandanhan lain yang lebih menarik minat pandanganku. Masa yang ditetapkan itu telah tiba. Aku melihat seorang lelaki berjubah putih berjalan perlahan-lahan dan terbongkok-bongkok. Di tangannya ada sebatang tongkat.

Ah! Sheikh Yusuf al-Qaradawi itu sedang berada di depan mataku! Seakan mimpi, tapi ini jelas bukan mimpi.

Beliau dipimpin ke dalam lif untuk naik ke tingkat satu. Ia waktu untuk solat Zuhur. Kalau di pejabat KUIS, tenaga kerja menunggu Syeikh Ali al-Qaradaghi untuk sama-sama mendirikan solat berjemaah, di sini kakitangannya menanti al-Qaradawi.

Cuma ada sedikit berbeza di pejabat ini. Al-Qaradawi tidak menjadi imam. Beliau sekadar menjadi makmum yang duduk di atas kerusi. Aku menyaksikan setiap gerak-geri beliau dengan pandangan bercampur baur - sekejap sayu, sekejap gembira.

Selesai solat, aku dipanggil duduk di hadapan al-Qaradawi. Ya, betul-betul di depan beliau. Bersembang dengannya memang agak sukar. Beliau jelas kelihatan terlalu uzur. Pendengarannya agak kurang. Aku harus bercakap dengan kuat untuk membolehkan beliau mendengar.

Tapi, beliau tidaklah pekak atau terpaksa menggunakan sebarang alat pendengaran. Cuma, harus bercakap kuat dgn beliau.

Perbualan aku dengan al-Qaradawi banyak dibantu oleh Syeikh Majd Makki, salah seorang anak murid beliau yang paling rapat dengan aku di sana.

Melihat senyum sendiri

Al-Qaradawi bertanya tentang nama, tempat belajar, guru-guru di Jordan dan macam-macam lagi. Aku terpaksa cakap kuat, dan kadang-kadang dibantu pelajarnya yang berada di sekeliling beliau ketika itu.

Ia seakan-akan suasana usrah bulatan selepas Zuhur. Al-Qaradawi menasihati aku supaya mengambil manfaat daripada Sheikh Abdul Rahman Kailani. Beliau mengenali ayahnya, atau abangnya.

Selepas berbual-bual seketika, mereka melanjutkan dengan sesi yang - wallahi - amat mengejutkan aku.

Seorang demi seorang anak murid al-Qaradawi datang ke depannya dan membentangkan isu semasa yang sedang berlaku di seluruh dunia. Satu persatu. Dari setiap saluran berita atau akhbar.

Apa berlaku di Syria, Arab Saudi, AS, Korea Utara, semua negara. Isu-isu semasa melibatkan hal ehwal negara, politik, dan ada juga tentang gerakan-gerakan Islam dan ulama di serata dunia.

Pada umur yang sebegitu, beliau masih mengambil berat setiap isu semasa yang berlaku di seluruh dunia. Sesekali pelajarnya sebut tentang satu-satu berita, al-Qaradawi membalas: ini mungkin salah; tidak mungkin begitu. Beliau memberikan pandangannya sendiri jika perlu.

Ulama besar itu masih boleh bercakap dengan baik. Jelas.

Di akhir pertemuan yang berlangsung lebih kurang 30 minit itu, aku mengambil gambar kenangan bersama al-Qaradawi. Beliau masih sempat bergurau.

"Tabassam ya syeikh (senyumlah tuan)," kata Majd (gambar, kiri).

Al-Qaradawi lantas memberikan senyuman manis. Sehabis bergambar beliau meminta untuk melihat gambar yang diambil.

"Aku nak tengok macam mana senyumanku," katanya. Semua yang berada di situ tersenyum melihat gelagat seorang Ilmuwan yang entah bila-bila bakal pergi menerima jemputan Tuhannya.

Beliau juga sempat berpesan supaya anak muridnya membelikan coklat kepada aku dan kawanku, Azril Alimi, yang menjadi peneman perjalanan ini.

Aku mengucup dahinya, dan tangannya kugenggam. Ia adalah detik yang mungkin tidak akan lusuh apatahlagi luput daripada ingatanku sepanjang hayat.

Ketika beliau dipimpin untuk ke lif dan turun aku bergegas mahu melihat kelibatnya lagi. Sedih pun ada. Mungkin itu adalah kali terakhir aku melihat wajahnya. Saat yang cukup, cukup merenggut jiwaku.

Sebelum aku terlupa, al-Qaradawi ketika ini masih sibuk menulis buku. Dengan umurnya yang begitu lanjut, beliau banyak dibantu oleh anak-anak muridnya.

Selain menulis beliau tekun membaca, mengkaji dan sentiasa mengambil tahu.

"Bagaimana ada orang boleh membenci dan memaki manusia sebegini?" kata Azril.

Wahai rakan-rakanku, pergilah mengembara untuk bertemu ulama sementara mereka masih ada. Mereka masih ada dan kita tidak mengambil peluang untuk bertemu mereka dalam keadaan kita berkemampuan untuk bertemu mereka. Ahhh! Rugi sungguh.

Jika dahulu Imam Syafie tidak sanggup berpergian bertemu Imam Malik, sudah pasti beliau akan berasa cukup rugi selepas Imam Malik meninggal dunia.

Inilah kisahku bersama ulama rabbani, Sheikh Yusuf al-Qaradhawi. Impian, cita-cita dan angan-angan bertukar menjadi kenyataan. Moga aku dapat bertemu beliau sekali lagi. Jika tidak di dunia ini, mungkin di jannah sana.

Siri 1: Bertemu Qaradawi


MIRZAN MAJID ialah pelajar tahun dua fakulti fiqh wa usuluh Universiti Mu'tah, Jordan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.