Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Portal: Buat apa Najib bayar pendakwa kes Anwar?
Diterbitkan:  Jun 5, 2017 12:44 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Sebuah portal pro-Umno cuba menangkis dakwaan Sarawak Report bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak membayar peguam terkemuka Tan Sri Shafee Abdullah sebanyak RM9.5 juta.

Dakwaan, yang mencadangkan bahawa wang berkenaan berasal dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, menimbulkan kepercayaan kewujudan konspirasi politik terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di kalangan penyongkong pembangkang.

Shafee bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes Anwar yang dituduh meliwat bekas pembantu apabila perkara itu dibawa ke mahkamah rayuan dan persekutuan.

Walau bagaimanapun, portal MyKMU.net menyifatkan dakwaan Sarawak Report sebagai "pembohongan paling teruk sekali” terhadap Najib dan 1MDB.

“Jadah apa Najib nak bayar pendakwaraya (untuk memastikan Anwar didapati bersalah) bila hakim yang buat keputusan dan memang pun kerja pendakwaraya untuk memastikan tertuduh bersalah?

“Kiri kanan, depan belakang nampak bodoh tapi sebab Pakatan (dan Mahathir) memang bodoh, apa dia peduli. Kita rakyat, jangan ikut bodoh sekali,” kata penulisnya.

Portal itu mendakwa bahawa tuduhan terbaru mendedahkan bahawa Pakatan Harapan dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohmad telah kehabisan modal untuk digunakan terhadap Najib, selain daripada 1MDB.

“Mahathir kata duit 1MDB dah lesap tapi yang dok bayar sana sini sepert dituduhi tu guna duit mana pulak?

“Jadi menjelang PRU14 yang tak lama lagi, jangan hairanlah kalau tajuk cerita ‘guna wang 1MDB’ ini akan bertambah banyak.

“Sehingga kalau Najib beli makan kucing pun puak ini akan cuba kaitkan dengan duit 1MDB jugak – pun jangan terperanjat kalau ada juga biol-biol Pakatan di luar sana yang percaya,” kata Mykmu.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas mahkamah persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhary Azlan.

Bekas ketua pembangkang yang kini meringkuk di penjara itu mendakwa, seperti pertuduhan sama yang pertama sepanjang tempoh Dr Mahathir sebagai perdana menteri, telah direkayasa oleh pesaing politiknya.

Pihak berkuasa menafikan tuduhan berkenaan.

Jumaat lalu, Anwar menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan Sarawak Report.

“Apakah tujuan dana besar ini disalur oleh Najib kepada akaun peribadi seorang peguam swasta yang dilantik oleh kerajaan Najib untuk mengendalikan pendakwaan terhadap saya?” soal Anwar.

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata sama ada atau tidak Shafee dibayar jumlah itu, tidak memberi kesan kepada kes itu.

"Tidak, tidak sepatutnya. Satu-satunya perkara yang boleh mengubah keputusan ialah jika hakim merasakan berbaloi.

"Ia bukan seperti jika kamu bayar RM10 juta (kepada pendakwa) maka perbicaraan akan menjadi cepat, jika kamu bayar RM5 juta, perbicaraan menjadi perlahan," jelas beliau menambah pendakwa dibayar untuk mendakwa.

Pembangkang juga telah membuat beberapa laporan polis berhubung dakwaan itu.

Malaysiakini tidak boleh secara bebas mengesahkan dakwaan laporan Sarawak Report atau menentukan sama ada bayaran yang dikatakan itu berkaitan dengan peranan Shafee dalam kes Anwar.

Shafee sebelum ini dilaporkan tidak sihat dan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan itu. Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan ulasannya setakat ini juga tidak berjaya.

 

Lihat Komen
ADS