Mengapa mahu bina LRT, tetapi tak sediakan jalan sempurna?
ULASAN l Jalan Ba'Kelalan-Long Semadoh di Sarawak rosak teruk hingga sukar untuk membayangkan jalan raya pernah wujud di kawasan ini.
Di beberapa bahagian, jalan itu dipenuhi lumpur dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda. Namun, kenderaan seumpama itu juga seringkali tersangkut dan terpaksa ditarik keluar dengan tali.
Mengapa kerajaan mahu membina sistem Transit Aliran Ringan (LRT) sedangkan mereka tidak mampu menyediakan kemudahan jalan raya untuk rakyat?
Masyarakat luar bandar juga mempunyai hak sama seperti penduduk bandar untuk menikmati kemudahan asas yang berfungsi dengan baik dan jalan raya adalah antara kemudahan tersebut.
Tanpa hubungan jalan raya yang baik, rakyat terputus daripada bandar-bandar utama - dalam kes-kes kecemasan, bagaimana mereka mahu ke hospital untuk mendapatkan bantuan perubatan?
Pada sidang DUN Sarawak bulan lalu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri, Tan Sri James Masing ketika menjawab soalan saya memberitahu Dewan bahawa RM1juta telah diluluskan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Peruntukan itu adalah untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan jalan. Beliau berkata JKR akan mengenal pasti laluan kritikal di sepanjang jalan dan menjalankan kerja-kerja pembaikan serta-merta.
Bagaimanapun, sehingga hari ini, rakyat terus kecewa. Tidak ada sebarang tanda kerja-kerja pembaikan jalan raya. Di sesetengah laluan, kerja-kerja pembaikan tidak memadai - JKR perlu membina semula keseluruhan laluan berkenaan.
Gambar yang dilampirkan akan menunjukkan dengan tepat kualiti Jalan Jiwa Murni yang dibina menggunakan teknologi 'Probest'. Ia dibina pada kadar segera tetapi tanpa kualiti serta ketahanan.
Pada sidang DUN Jun tahun lalu, saya membangkitkan bahawa Laporan Audit Negara 2016 juga menyebut tentang kualiti jalan raya di negeri ini:
“Kualiti kerja kurang memuaskan. Bahu jalan dan longkang tidak dibina ... Terdapat jalan berlubang, tidak rata dan permukaan jalan yang berlumpur. Penyelenggaraan jalan kurang memuaskan ...
Selain daripada garisan jalan yang pudar, terdapat tumbuhan liar dan rumput yang tidak dicantas di bahu jalan ... keselamatan jalan raya yang dibina adalah "kurang memuaskan" kerana curam dan berliku-liku, dengan tiada perlindungan cerun."
BARU BIAN adalah ADUN Ba’ Kelalan dan pengerusi PKR Sarawak.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

