Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Pemuda PKR (AMK) membuat laporan polis terhadap dakwaan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menerima wang bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, berjumlah RM9.5 juta daripada perdana menteri.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan terbaru laman pendedah maklumat Sarawak Report itu dan berkata Shafee harus “berehat” daripada kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

N Surendran, peguam Anwar, sebelum ini berkata mereka akan membincangkan tindakan lanjut, susulan dakwaan itu.

Shafee adalah peguam yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam sabitan kes liwat melibatkan bekas ketua pembangkang.

Nik Nazmi hadir bersama Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dan Ketua Biro Agama AMK Wan Ji Wan Hussin ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur sekitar jam 11.00 pagi dan keluar sejam kemudian.

Sarawak Report mendakwa Najib membayar wang yang banyak itu pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Menteri kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bagaimanapun berkata laman itu “tiada kewibawaan” dan beliau justeru tidak percaya terhadap dakwaan itu.

Portal pro-Najib MyKMU menyifatkan dakwaan itu sebagai pembohongan kerana tiada keperluan untuk Najib membayar kepada pendakwa raya apabila keputusan dibuat oleh hakim.

Sementara itu, Nik Nazmi yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia dalam laporannya mengemukakan empat persoalan berkaitan dakwaan itu, jika benar berlaku transaksi:

  • Tujuan pembayaran RM 9.5 juta dari Najib kepada Shafee.
  • Apa hubungan Najib dan Shafee sehinggakan jumlah yang begitu besar dibayar.
  • Adakah pembayaran itu berkaitan dengan kes liwat Anwar.
  • Siapa lagi yang menerima pembayaran daripada duit SRC melalui akaun peribadi Najib.

Terus membisu?

Bagaimanapun, Nik Nazmi juga percaya Najib dan Shafee akan terus membisu terhadap dakwaan itu.

Beliau justeru mempertimbangkan untuk mengadukan dakwaan sama terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Peguam.

"Beliau merupakan peguam dan peguam ada kod etika dia sebagai seorang profesional," tambah Nik Nazmi.

Dokumen yang dipegang peguam negara dalam sidang media pada Januari lalu lepas menunjukkan sekurang-kurangnya RM32 juta disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri dari SRC.

Tan Sri Apandi Ali bagaimanapun membersihkan Najib daripada sebarang salah laku atas alasan bahawa perdana menteri tidak sedar menerima wang berkenaan.

Najib menafikan dakwaan bahawa beliau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Malaysiakini tidak boleh secara bebas mengesahkan dakwaan laporan Sarawak Report atau menentukan sama ada bayaran yang dikatakan itu berkaitan dengan peranan Shafee dalam kes Anwar.

Shafee sebelum ini dilaporkan tidak sihat dan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan itu. Usaha Malaysikini untuk mendapatkan ulasannya setakat ini juga tidak berjaya.

Lihat Komen
ADS