Bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd telah membuat pembayaran faedah tetap ke atas pinjaman RM4 bilion daripada Dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengikut jadual.

"Pada masa ini mereka (SRC) membayar faedah berkala setiap enam bulan.

"Pinjaman ini dijamin oleh jaminan kerajaan, jadi kami tidak bimbang," kata Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, bahawa SRC dijadual akan memulakan bayaran balik pinjaman pokok pada selang pinjaman seterusnya.

"Tarikh matang adalah pada bulan September jika saya tidak silap," kata Wan Kamaruzaman.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan majlis Sambutan 10 tahun KWAP dan perasmian pejabat utama KWAP di Menara Integra, di Kuala Lumpur hari ini.

SRC International menjadi perhatian selepas ia memohon dua pinjaman RM2 bilion daripada KWAP pada tahun 2011 dan 2012, dengan tempoh bayaran balik 10 tahun.

SRC International mendakwa telah melabur sebahagian daripada wang berkenaan dan projek kontroversi Gobi Coal & Energy Ltd, sebuah projek usaha sama di Mongolia.

Pembangkang mahukan SRC International disiasat berhubung kedudukan RM3.81 bilion daripada pinjaman RM4 bilion yang dilaburkan di luar negara.

SRC International sekali mencuri perhatian apabila tuduhan timbul bahawa sekurang-kurangnya RM42 juta wang syarikat itu disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Wang yang didakwa diselewengkan itu sekali lagi menjadi perhatian selepas laman web pemberi maklumat Sarawak Report mendakwa Najib menggunakan dana berkenaan untuk membayar peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebanyak RM9.5 juta.

Ia dipercayai sebagai khidmatnya menjadi pendakwa utama dalam kes perbicaraan liwat II yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Percubaan berulang kali untuk menghubungi Najib dan Shafee untuk mendapatkan ulasan mereka mengenai dakwaan itu tidak berjaya.

[Baca berita penuh]