Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mustafar: Imigresen pastikan PATI tak kembali
Diterbitkan:  Jun 5, 2017 8:37 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan pihaknya telah mengambil langkah proaktif dalam memastikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang diusir tidak boleh kembali lagi ke negara ini tanpa sebab munasabah.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustaffa Ali berkata demikian bagi mengulas gesaan Bendahari Agung PKR, Datin Paduka Tan Yee Kew agar kerajaan memastikan semua pendatang yang telah diusir tidak boleh kembali semula ke Malaysia.

"Untuk makluman, semua PATI yang diusir boleh dikenakan tindakan senarai hitam bagi tempoh 1 hingga 5 tahun mengikut kategori kesalahan yang dilakukan.

"Bagi kes yang dikategorikan sebagai serius, Jabatan akan mengenakan tindakan senarai hitam seumur hidup dan mereka tidak boleh memasuki Malaysia," kata Mustaffar dalam kenyataan media.

Terdahulu, Tan berkata meskipun beliau menghargai usaha pihak berkuasa setakat ini, namun beliau percaya adalah penting pendatang yang diusir tidak sewenang-wenangnya kembali ke Malaysia dengan mudah.

Ini kerana jika tidak dihalang mereka akan kembali mengulangi aktiviti jenayah sebelum ini seperti aktiviti pelacuran yang dilihat antara kes jenayah tertinggi membabitkan warga asing.

Menurut Mustafar, selain tindakan senarai hitam melalui maklumat biodata pendatang, jabatan itu juga mengenakan senarai hitam biometrik atau BioSL dengan merekodkan cap jari mereka.

"Tindakan ini telah terbukti berjaya dengan kejayaan Jabatan mengesan kes-kes cubaan masuk semula ke Malaysia dengan menggunakan identiti yang dipalsukan selepas PATI diusir ke negara asal.

"Jabatan ini juga sentiasa bekerjasama dengan Agensi penguatkuasaan yang lain bagi memastikan tiada pembolosan melalui laluan yang tidak diwartakan sebagai pintu masuk," katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu seramai 63,000 pendatang telah diusir, manakala daripada 1 Januari hingga 4 Jun 2017 seramai 24,202 pendatang menghadapi tindakan sama.

Bagi tempoh itu Jabatan Imigresen telah menjalankan sebanyak 6,531 operasi penguatkuasaan dan hasilnya seramai 70,565 orang telah diperiksa yang menyaksikan 20,139 warga asing dan 575 majikan ditahan.

Lihat Komen
ADS