Polis berkas wanita pukul budak di Puchong
Polis sudah menahan wanita dalam video tular yang menunjukkan dia mendera seorang kanak-kanak dengan memukulnya dengan alat yang kelihatan seperti kayu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azlin Sadari memberitahu Malaysiakini bahawa suspek disiasat bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Seksyen itu memperuntukkan kes berkaitan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
Jika sabit kesalahan pesalah boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, myMetro melaporkan kejadian dipercayai berlaku di Taman Puchong Perdana, Puchong malam semalam.
Rakaman dua minit 15 saat itu memaparkan seorang wanita memukul seorang kanak-kanak dalam usia prasekolah sekurang-kurangnya 30 kali.
Wanita itu dikatakan naik angin selepas kanak-kanak itu menumpahkan makanan di meja.
Suspek juga menyebut perkataan “mati” dan “aku bunuh kau” dalam bahasa Tamil.
MyMetro melaporkan kanak-kanak itu dipercayai bukan anggota keluarga wanita itu, sebaliknya mangsa hanya dijaga sementara waktu.
Sementara itu, Mohd Azlin juga dilaporkan Sadari berkata, pihak polis sudah menerima laporan.
"Mangsa sudah diselamatkan dan wanita terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.
"Perkembangan kes akan dimaklumkan kelak," beliau dipetik sebagai berkata.

