Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir ulangi keberatan jadi PM lagi
Diterbitkan:  Jun 7, 2017 11:58 AM
Dikemaskini: 9:30 AM

Walaupun bersedia menjadi perdana menteri sekali lagi, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia hanya untuk "masa yang singkat".

Bercakap kepada Nikkei Asian Review, Mahathir bagaimanapun menegaskan kesediannya itu hanya dengan syarat dipersetujui semua pihak.

"Jika tidak ada calon... Saya akan cuba, tetapi dengan syarat bahawa semua bersetuju," kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, matlamat utama beliau adalah untuk membantu pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.

Ini adalah kali kedua Mahathir menyatakan pandangan sedemikian.

Dalam sesi Facebook secara langsung minggu lalu, Mahathir mengakui beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan untuk menjadi perdana menteri sekali lagi sekirannya Pakatan Harapan mahu beliau berbuat demikian.

"Saya tidak boleh abaikan rakan-rakan dalam pakatan Harapan. Jika mereka mempunyai rancangan sedemikian dan ia dipersetujui ramai, saya akan terpaksa mempertimbangkannya," katanya.

Sebelum ini, perdana menteri paling lama negara ini berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak mahu bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Walaupun secara jelas menyatakan keberatannya itu, masih terdapat desakan supaya beliau sekali lagi menerajui negara. Malah, dalam satu tinjauan Malaysiakini, majoriti pembaca portal ini menyokong Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi.

Tinjauan oleh Invoke yang berkaitan PKR juga menyaksikan Mahathir muncul sebagai pilihan kedua paling popular HARAPAN untuk menjadi perdana menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setakat ini, pemimpin HARAPAN enggan mengulas lanjut mengenai kemungkinan menjadikan Mahathir perdana menteri sekali lagi.

Rakan kongsi BERSATU dalam HARAPAN, khususnya DAP mahu Anwar untuk mengambil jawatan.

Namun Ketua Umum PKR itu sedang meringkuk di penjara.

Sementara itu, menenai mengapa beliau mampu bertahan selama 22 tahun sebagai perdana menteri, Dr Mahathir berkata ini kerana dirinya tidak menyalahgunakan kuasanya.

"Saya berkuasa tetapi saya tidak menyalahgunakan kuasa saya. Sebab itu saya dipilih semula sebanyak lima kali," katanya.

Walau bagaimanapun sebagai perbandingan, Dr Mahathir berkata seteru politiknya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menjadi "terlalu kuat".

Mahathir sebelum ini berulang-kali menuduh Najib mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan dana awam - dakwan yang dinafikan oleh perdana menteri.

Artikel Nikkei Asian Review itu disiarkan selang sehari selepas pemimpin berusia 91 tahun itu memuat-naikkan gambarnya di Facebook dengan perdana menteri Jepun, Shinzo Abe.

"Saya dijemput untuk berkongsi pandangan saya mengenai masa depan Asia.

"Alhamdulillah, di Jepun saya tidak dikenakan sekatan untuk berkongsi pandangan saya mengenai isu-isu semasa."

 

Lihat Komen
ADS