Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MAIS beri amaran, Chegubard mohon maaf
Diterbitkan:  Jun 8, 2017 12:35 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

KEMASKINI Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi tempoh 24 jam kepada aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin untuk menarik balik dakwaan mengatakan sebuah surau di negeri itu telah digunakan bagi acara politik.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata. dakwaan dibuat Badrul tidak berasas dan berbaur fitnah terhadap institusi diraja serta institusi Islam di Selangor.

"Kegagalan penulis blog berkenaan berbuat demikian boleh diambil tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia atau didakwa di bawah Akta Fitnah 1957," katanya dalam kenyataan media.

Beliau merujuk artikel bertajuk "Pertanyaan Terbuka Buat Istana Selangor" bertarikh 6 Jun lalu yang disiarkan di blog Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Antara lain, Chegubard mendakwa PAS kawasan Kota Raja telah menyalahgunakan kemudahan di Surau Al-Falah di Jalan Kebun dengan mengadakan progam pemukiman untuk pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, PAS kawasan itu menafikan perkara itu dan menyifatkan dakwaan bekas anggota PKR yang dipecat itu sebagai “fitnah”.

Menurut Mohamad Adzib, berdasarkan siasatan yang dibuat, surau tersebut telah ditutup selepas Masjid al-Falah beroperasi sejak 30 Mac 2017.

"Bangunan surau berkenaan kini ditukar fungsinya sebagai pusat ilmu dan kegiatan masyarakat dengan kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor, yang dibuka untuk sewaan bagi program-program untuk menampung kos operasi masjid.

"Ini jelas menunjukkan penulis blog tidak menyemak terlebih dahulu tentang fakta yang ditulisnya," ujarnya.

Sehubungan itu MAIS menasihati umat Islam di Selangor menyemak kesahihan sesuatu fakta sebelum menyebarkannya di laman sosial, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Tarik balik sebahagian tulisan

Sementara itu, Chegubard dalam kenyataan medianya berkata beliau memohon maaf selepas mendapati ruang solat surau berkenaan tidak lagi digunakan.

Sehubungan itu beliau menarik balik satu perenggan daripada tulisan tersebut yang diakui mempunyai kesalahan fakta. 

"Saya memohon maaf juga kepada Istana Selangor berkenaan kesilapan fakta dalam persoalan yang dibangkitkan.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan respon berkenaan persoalan tersebut," katanya.

Ayat yang ditarik balik berbunyi: "Kini jelas gambar program jentera pilihan raya PAS tersebar kelihatan seolah di ruang solat juga dalam masjid / surau / madrasah di negeri Selangor, adakah Istana Selangor akan turut diam kerana PAS sudah mesra Umno? Ini bukan tuduhan tapi pertanyaan yang harus mendapat respon pihak penganjur dan Istana juga.

Bagaimanapun, Chegu Bard berkata beliau mempertahankan tulisan selebihnya yang tidak berkaitan dengan perenggan yang ditarikbalik.

Lihat Komen
ADS