Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat, isu mengenai calon perdana menteri Pakatan Harapan lebih baik jika dibincangkan secara tertutup.

Beliau bimbang sekiranya dibincangkan secara terbuka, ia akan memberi kekeliruan dan salah faham kepada rakyat.

"Pada pandangan peribadi saya, lebih baik perkara ini tidak dibincangkan secara terbuka. Kerana ia akan menimbulkan pelbagai salah faham atau kekeliruan.

"Ia akan memberi tanggapan bahawa pembangkang ini tidak bersatu.

"Mereka (rakyat) nak sokong kita tapi ada tanggapan yang kita ini tidak bersatu. Lebih baik kita duduk dan bincang, jangan bocorkan rahsia kita," katanya pada sidang media di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung wujudnya pertikaian mengenai nama calon perdana HARAPAN.

Sebelum ini, isu calon perdana menteri diperkatakan di kalangan Pakatan Harapan.

Ia ekoran nama Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan cadangan menjadi perdana menteri sekali lagi, jika Pakatan Harapan merancang sedemikian.

Bagaimanapun, pemimpin di kalangan pakatan pembangkang itu mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat.

Malah, bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata, cadangan itu hanya mungkin dicapai jika mendapat persetujuan bersama di kalangan parti pembangkang.

Lihat Komen
ADS