Seorang bekas pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini, atas sembilan tuduhan menerima suapan dan salah guna kuasa membabitkan nilai RM95,794 dua tahun lalu.

Shaharil Hisham Abdul Razak, 57, yang berkhidmat sebagai Pegawai Staf 1 (Ketua Zon) di Pejabat Senggaraan Zon Timur (Pahang) cawangan Pengurusan Fasilitas dan Urus Senggara, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kem Batu 3, Temerloh, mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu.

Pegakuan tertuduh direkodkan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Tertuduh didakwa menyalahguna jawatannya untuk mencadangkan supaya syarikat milik keluarganya, Abd Razak Am Enterprise dilantik untuk melakukan kerja penyelenggaraan benilai RM30,000 di pejabat BPKP, 11 Skuadron RAJD Mekanis, Temerloh pada 20 November 2015 di pejabatnya di Temerloh.

Tertuduh juga didakwa mencadangkan supaya syarikat sama dilantik untuk melakukan kerja penyelenggaraan di dua buah blok Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malayia (ATM) Mentakab, pada 12 April 2016.

Cadangan itu didakwa dikemukakan kepada Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Brigadier Jeneral Datuk Abu Sufian Ahmad, manakala syarikat itu dimiliki bapa tertuduh Abd Razak Awang Mahusain, isteri tertuduh Rosnahni Hussin dan adiknya Muhamad Helmi Abd Razak.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa menerima suapan bernilai RM20,794 daripada tujuh orang kontraktor antara 17 November 16 hingga 22 Disember 2016, di Malayan Banking Berhad Cawangan Bukit Ubi di Kuantan, yang dimasukkan ke dalam akaun milik Rosnahni.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh yang beralamat di Taman Sri Bahagia,Temerloh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamri menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan itu.

Peguam Aiman As'ad Mohd Ghani, yang mewakili tertuduh, bagaimanapun merayu supaya jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan jaminan hanya bertujuan untuk memastikan kehadiran anak guamnya di mahkamah semasa perbicaraan.

"Tertuduh adalah pesara kerajaan dengan pencen RM5,000 sebulan. Wang itu digunakan untuk menanggung keluarga termasuk lima orang anak. Anak bongsu tertuduh berusia 13 tahun dan memerlukan belanja yang besar untuk bersekolah.

"Saya juga difahamkan tertuduh menjaga dan menguruskan kebajikan ayahnya yang sudah uzur," katanya.

Habibah menetapkan jaminan sebanyak RM14,000 bagi semua tuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 Julai ini.

Tertuduh menjelaskan jaminan itu.

- Bernama