Zaid: Biar BERSATU pimpin pembangkang

   

Pakatan Harapan mempunyai pilihan untuk menjadi “bijak dan realistik” dengan membenarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memimpin gabungan pembangkang, kata bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim.

“PKR boleh jadi bijak dan membenarkan BERSATU memimpin pilihan raya umum ke-14 atau terus meratap sugul.

“DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) boleh jadi realistik, atau mereka boleh terus tenggelam dalam fantasi.

“Ini hari penentuan untuk mereka juga,” kata anggota DAP itu di Twitter.

Beliau mengulas laporan media yang menyebut BERSATU mencadangkan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad dan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi dan presiden HARAPAN.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dicadangkan sebagai penasihat.

BERSATU juga dilapor mencadangkan isteri Anwar yang juga presiden PKR sebagai timbalan pengerusi dan timbalannya Datuk Azmin Ali sebagai timbalan presiden HARAPAN.

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu masing-masing dicadangkan sebagai naib presiden.

Majlis Presiden HARAPAN yang bermesyuarat pagi ini dijangka membincangkan cadangan itu.

Memetik sumber, Malay Mail Online bagaimanapun melaporkan DAP dan AMANAH tidak selesa dengan cadangan itu.

Sebelum ini, mereka mencadangkan Wan Azizah sebagai pengerusi manakala Muhyiddin, Lim dan Mohamad masing-masing sebagai naib presiden.

Harapan merancang mendaftar sebagai gabungan rasmi menjelang pilihan raya umum depan.

Dalam tempoh beberapa minggu terakhir, pemimpin-pemimpin gabungan itu dilihat gagal mencapai kata sepakat dalam menamakan calon perdana menteri mereka jika berjaya merampas kuasa.

[Baca berita asal]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda