Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Tinggi di Shah Alam akan membuat keputusan pada 13 Julai berhubung rayuan oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli terhadap sabitan kesalahan fitnah jenayah dan rayuan pendakwaan mengenai hukuman itu.

Rafizi didapati bersalah kerana menuduh Umno Selangor sebagai dalang dalam serangan bom molotov cocktail pada satu gereja pada tahun 2014.

Kenyataannya yang didapati memfitnah itu dilaporkan oleh portal berita, FZ.com pada 4 Februari 2014 dan diterbitkan oleh akhbar The Edge Financial Daily pada hari berikutnya.

Pendakwaan hari ini berhujah bahawa mahkamah harus mempertimbangkan semula hukuman denda RM1,800 yang dijatuhkan ke atas ahli parlimen PKR itu.

"Hukuman di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan adalah lebih tinggi berbanding dengan yang dijatuhkan ke atas Rafizi.

"(Hukuman) jelas mengatakan ia boleh membawa hukuman penjara, (dan) kemudiannya denda," hujah timbalan pendakwa raya Iskandar Ahmad di hadapan Hakim Datuk Ghazali Cha.

Peguam Rafizi, Gobind Singh bagaimanapun berhujah sebaliknya.

"Maksud saya, tidak kira (perkataan) apa dahulu, hukuman penjara atau denda.

"Perkataan 'boleh' bermakna terpulang kepada budi bicara hakim, dan Hakim Azwarnida (Ariffin) memutuskan bahawa denda adalah mencukupi," katanya.

Menurut Gobind, tidak ada sebab bagi pihak pendakwa untuk meminta mahkamah rayuan itu campur tangan dalam keputusan sebelumnya.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Gobind berharap rayuan pihak pendakwaan akan diketepikan dan Rafizi dibebaskan sepenuhnya.

"Apa yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan, tidak mencerminkan kesalahan di bawah seksyen 504.

"Terdapat kesalahan dalam melaksanakan keadilan, beliau harus dibebaskan," katanya.

Bagi Rafizi, beliau berkata ini adalah "hanya satu lagi hari di mahkamah".

"Saya melihat satu trend di mana Umno menggunakan kes-kes mahkamah untuk membina kes terhadap saya kononnya bahawa saya bukan boleh dipercayai," katanya.

Lihat Komen
ADS