Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan pelucutan ADUN Pujut sehari sebelum penamaan calon

Mahkamah Tinggi di Kuching akan membuat keputusan mengenai cabaran Dr Ting Tiong Choon yang kehilangan kelayakannya sebagai ADUN Pujut pada 19 Jun, iaitu sehari sebelum hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu.

Peguam Ting, Wong King Wei memberitahu Malaysiakini bahawa mahkamah hari ini memberi kebenaran supaya kes itu dibicarakan, dan mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan fakta kes mereka sebelum Selasa depan.

"Hujah-hujah permohonan oleh peguam kedua-dua pihak akan dijalankan pada Khamis dan Jumaat (15 dan 16 Jun) depan.

"Penghakiman akan dibuat pada 19 Jun, sehari sebelum penamaan calon," kata Wong.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 20 Jun, dan hari pengundian pula pada 4 Julai.

Pada 12 Mei lalu, Dr Ting dilucutkan keahlian dewan serta-merta mengikut Perlembagaan Sarawak, kerana memiliki dua kewarganegaraan - Malaysia dan Australia.

Walau bagaimanapun Ting dalam afidavitnya berhujah bahawa beliau telah melepaskan kerakyatan Australia, pada 4 April 2016, iaitu sebelum hari penamaan calon 25 April untuk bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak tahun itu.

Oleh itu beliau mahu satu pengisytiharan bahawa pelucutan kelayakan itu sebenarnya melanggar Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak.

Bagaimanapun pakar perlembagaan menegaskan bahawa Perkara 19 (1) Perlembagaan Negeri Sarawak menyatakan bahawa apa-apa soalan yang berkaitan dengan kehilangan kelayakan itu perlu ditentukan oleh DUN sendiri, dan bahawa keputusannya adalah muktamad.

Semasa pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu, Ting memenangi pertandingan empat penjuru bagi kerusi Pujut dengan majoriti 1,759 undi. Beliau mengalahkan calon BN Datuk Hii King Chiong BN, calon PAS Jofri Jaraiee dan calon bebas Fong Pau Teck.

Hii sebelum ini cuba membatalkan kemenangan Ting di mahkamah atas tuduhan memiliki dua kerakyatan tetapi Mahkamah Pilihan Raya menolaknya atas alasan teknikal tahun lalu.

Lihat Komen
ADS