Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ada orang Islam jadi khadam gugat akidah'
Diterbitkan:  Jun 9, 2017 2:51 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Khutbah Jumaat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyeru umat Islam agar berhenti menjadi boneka yang boleh menghancurkan agama dan diri mereka sendiri.

Mimbar berkata, dunia mutakhir ini menyaksikan umat Islam mengalami pelbagai cabaran dan konflik daripada anasir yang cuba meruntuhkan syiar Islam serta memecahkan perpaduan di kalangan umatnya.

"Sangat malang, ketika umat Islam diserang dalam segenap segi kehidupan terutama serangan pemikiran, ada di antara umat Islam sendiri yang kehilangan jalan ke arah takwa dengan membuat pendirian yang keliru lagi mengelirukan.

"Mereka telah menghiris hati dan perasaan kita kerana rela bersekongkol dan menjadi khadam pelindung kepada aktiviti yang boleh menggugat akidah umat Islam terutamanya generasi muda," kata mimbar.

Khutbah bertajuk "Al-Quran Sumber Perpaduan Ummah" disampaikan sempena peristiwa Nuzul al-Quran pada ramadan kali ini yang disambut Isnin depan.

Teks itu menyebut, ketika terdapat usaha menyedarkan umat Islam tentang bahaya yang boleh mengancam akidah, ada golongan yang memperli, menyalahkan serta mencalarkan integriti diri mereka.

"Mereka sanggup bersekongkol dengan pihak-pihak yang secara terang-terangan menentang sistem kenegaraan dan undang-undang negara kita yang jelas mengangkat Islam sebagai agama negara.

"Sebagai umat yang cintakan Nabi Muhammad SAW, usahlah kita menjadi boneka menghancurkan agama dan umat kerana mengikut nafsu yang mengatasi akal dan emosi sehingga melanggar hukum agama dan undang-undang negara.

"Jadi, sudah tiba masanya umat Islam mempersiapkan jati diri dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran sebagai rujukan utama," kata mimbar.

Sementara itu, khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pula menyeru umat Islam mendampingi al-Quran serta memperuntukkan masa setiap hari untuk membacanya, memahami makna dan sentiasa mengambil iktibar dengan melaksanakan tuntutannya dalam kehidupan seharian.

"Bagi mendidik dan mentarbiah diri kita, keluarga dan seluruh individu yang mengaku Islam dan beriman terhadap al-Quran, marilah kita bersama-sama membudayakan kehidupan masyarakat Muslim yang sentiasa berinteraksi dengan al-Quran," kata mimbar dalam teks khutbah bertajuk “Nuzul al-Quran: Menghayati Tujuan al-Quran Diturunkan”.

Lihat Komen
ADS