Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gobind: IGP belum tengok semua dokumen berkaitan 1MDB?
Diterbitkan:  Jun 9, 2017 4:01 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar diminta untuk menyatakan sama ada beliau dan pasukan petugas 1MDB telah meneliti semua dokumen berkaitan dalam siasatan mereka ataupun tidak.

Ini susulan gesaan Khalid yang mahu editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang berpangkalan di London untuk datang ke Malaysia menyerahkan dokumen berkaitan berhubung dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebanyak RM9.5 juta.

"Tidak masuk akal untuk mempercayai bahawa mereka tidak mempunyai dokumen-dokumen asas dan fakta berkenaan.

"Ini akan menjejaskan kredibiliti mereka. Ia juga menimbulkan persoalan sama pasukan petugas itu berguna atau tidak selama ini," kata Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan.

"Pasukan petugas khas ini diwujudkan tahun lalu. Sudah tentu, pihak polis dan SPRM seharus selepas selama ini, melihat semua urus niaga dalam akaun SRC International Ltd dan juga akaun milik perdana menteri."

Gobind berkata adalah penting bagi IGP dan pasukan petugas untuk menjelaskan perkara itu kerana ia berkaitan dengan bagaimana teliti siasatan ke atas 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.

"Setelah ditubuhkan untuk menyiasat perkara sebesar 1MDB dan SRC serta dianggotai oleh ketua-ketua institusi utama seperti PDRM, SPRM, Bank Negara dan Peguam Negara, kami menjangkakan siasatan berkualiti tinggi daripada pasukan ini.

"Jika ada keraguan, mereka harus jawab. Dalam kes ini, jelas terdapat (keraguan).

"Oleh itu, IGP atau sesiapa sahaja daripada pasukan petugas itu perlu bersuara untuk membetulkan keadaan.

"Jika mereka mempunyai dokumen-dokumen, mereka mesti menyatakan jika dakwaan itu benar atau tidak.

"Jika mereka tidak (berbuat demikian), maka mereka mesti menjelaskan mengapa sehingga sekarang, dokumen asas dan fakta-fakta seperti ini belum diperolehi untuk membantu siasatan mereka," kata Gobind.

Laporan Sarawak Report mengenai pembayaran kepada Shafee, mencetuskan kontroversi selepas peguam itu dilantik sebagai pendakwa raya utama dalam rayuan kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia mengundang dakwaan berlakunya konspirasi politik.

Anwar hari ini memfailkan saman pemula dalam usaha terbaru mengketepikan sabitan kesalahannya itu.

Lihat Komen
ADS